fbpx

Program Digital Heroes bantu Malaysia sedia tenaga kerja digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham (dua dari kanan) bersama Kun Huang semasa melancarkan Program Heroes Malaysia di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) semalam.

PETALING JAYA – Program Digital Heroes yang dilancarkan Alibaba Cloud yang juga tulang belakang teknologi dan kecerdasan Alibaba Group semalam diharap mampu menyediakan tenaga kerja digital yang kukuh di negara ini pada masa akan datang.

Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang berkata, program tersebut merupakan satu evolusi bagi Alibaba Cloud Academic Empowerment Program (AAEP) bertujuan memberi inspirasi kepada bakat muda serta merapatkan jurang antara akademia dan industri.

Selain itu katanya, ia juga salah satu inisiatif bagi mengukuhkan bakat digital baharu melalui bantuan institusi pendidikan bertauliah yang mengambil bahagian.

Menurut Kun Huang, program tersebut dibina berdasarkan program amali dan inisiatif AAEP yang terkini, merangkumi tiga bidang utama baharu termasuk MY Digital Talent in U Competition, Nationwide University Tour dan Student Ambassador.

Kun Huang

“Menerusi MY Digital Talent in U Competition, pertandingan ini terbuka untuk pelajar dan kakitangan akademik untuk meneroka dunia pengkomputeran awan dengan program latihan dan kursus yang disediakan.

“Manakala bagi ‘Nationwide University Tour’ pula, ia merangkumi lawatan universiti seluruh rantau bagi mendidik serta memperkenalkan pengkomputeran awan mendalam kepada bakat tempatan bersama pembangun perniagaan, arkitek penyelesaian daripada Alibaba Cloud, dan pemain utama industri yang terpilih.

“Untuk program Student Ambassador pula, ia memberi peluang untuk pelajar tempatan mengambil bahagian dalam acara Alibaba Cloud bagi membantu mengasah kepimpinan, profesionalisme dan kemahiran komunikasi,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran Program Heroes Malaysia yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba di sini semalam.

Tambah Kun Huang, Program Digital Heroes bukan sahaja menyediakan pengalaman digital yang inovatif kepada pelajar tempatan, tetapi juga memastikan kelahiran bakat digital yang berterusan serta menyumbang kepada ekosistem perniagaan tempatan.

“Sebagai peneraju global dalam dunia pengkomputeran awan, kami berbangga menjadi sebahagian daripada usaha kolektif dan ingin memanfaatkan teknologi maju.

“Dengan pengalaman sedia ada, kami akan turut menyokong pembangunan bakat tempatan sambil memperkasakan lagi proses transformasi digital Malaysia,”katanya.

Sementara itu, Adham semasa melancarkan program itu berkata, kerajaan amat mengalu-alukan penyedia teknologi untuk melabur di Malaysia dan memanfaatkan kemahiran serta keupayaan bakat tempatan.

“Alibaba Cloud merupakan satu contoh yang baik di mana syarikat ini telah berjaya menubuhkan dua pusat data tempatan.

“Malah mereka mempunyai pasukan yang kukuh untuk menyokong syarikat tempatan dalam menyediakan teknologi pengkomputeran serta perkhidmatan awan terkemuka,”jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI