fbpx
Dalam suasana pelbagai pandemik atau penyakit berlaku pada hari ini, penggunaan PPE sering dipraktikkan dalam kalangan petugas hadapan.

Pakai PPE tak berwuduk boleh solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAMI petugas hospital yang memakai PPE (peralatan perlindungan diri) dalam tempoh lama bertujuan menghindari jangkitan. Kami tidak boleh berwuduk dalam keadaan itu. Apakah kami wajib mengulangi solat?

Jawapan:
Para ulama berbincang tentang mereka yang tidak boleh berwuduk dan bertayammum disebabkan keadaan tertentu. Ini seperti ketiadaan air dan debu, terkena penyakit tertentu yang menghalang penggunaan air dan debu atau halangan tertentu yang menghalang penggunaan dua bahan itu.

Bab ini disebut Faqid al-Tahurain atau ‘Adim al-Tahurain iaitu orang yang tidak mempunyai atau tidak mampu untuk melakukan kedua-dua cara bersuci.

Dalam Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) menghitung sehingga lima pendapat dalam masalah kewajipan solat dan qada orang yang berada dalam keadaan sebegini (rujukan:

Fath al-Bari, 1/585. Beirut: Dar-al-Fikr 1414H). Juga ada menghitungnya sehingga enam pendapat.

Berikut adalah ringkasan daripada pendapat-pendapat fuqaha (ahli fekah) yang disebut dalam pelbagai rujukan ulama sejak dahulu sehingga kini:

a) Solat dalam keadaan tanpa wuduk dan tayammum dan tidak perlu qada.
Ini pendapat al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (meninggal 241H), al-Imam al-Muzani (meninggal 264H, merupakan anak murid besar al-Imam al-Syafii dan tokoh dalam Mazhab al-Syafii), qaul qadim (pendapat lama) al-Imam al-Syafi’i (meninggal 204H), Ibn al-Munzir (319H) dan lain-lain.

Inilah juga pendapat ditarjihkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H), Ibn ‘Uthaimin dan ramai lagi.

b) Solat dalam keadaan tanpa wuduk dan tayammun, tapi wajib qada (ulang). Solat itu dilakukan bagi menghormati waktu. Ini pendapat kedua diriwayatkan dari al-Imam Malik, al-Imam Ahmad dan pendapat baharu al-Imam al-Syafii.

c) Tidak wajib solat, tapi wajib qada. Ini pendapat al-Imam Abu Hanifah (meninggal 150H), al-Imam al-‘Auza’i (meninggal 157H) dan al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal 161H).

Antara alasan mereka ialah hadis: “Allah tidak menerima solat tanpa bersuci,” (Riwayat Muslim).

d) Tidak perlu solat dan tidak perlu qada. Ini dinukilkan salah satu riwayat dari pendapat al-Imam Malik bin Anas dan golongan Mazhab Zahiriyyah.

e) Digalakkan solat dan wajib qada. Ini pendapat kelima disenaraikan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari dengan dakwaan, ia antara pendapat disenaraikan oleh al-Imam al-Nawawi.

Untuk meringkaskan pemahaman dan pengamalan awam, saya bersetuju dengan pendapat pertama iaitu yang mewajibkan solat dalam keadaan tersebut iaitu tanpa wuduk dan tanpa tayammum dan juga tidak wajib qada.

Antara hujah pendapat ini ialah, hadis al-Bukhari (no. 336) dan Muslim (no. 367) daripada ‘Aishah r.ha yang mana sekumpulan sahabat yang bersolat tanpa wuduk, kemudian Allah menurunkan ayat tayammum.

Ertinya, mereka bersolat tanpa wuduk dan juga tanpa tayammum kerana ayat tayammum belum turun. Namun, Nabi s.a.w tidak menyuruh mereka mengulangi solat. Al-Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah tajuk: Apabila Tiada Air dan Tanah. Pendapat yang mewajibkan solat tanpa perlu qada dilihat lebih mendekati konsep umum ayat al-Quran dan al-Sunnah yang menyatakan Allah suka untuk meringankan beban dan agama itu mudah.

Jika seharian bertugas, kemudian pada malam mesti menggantikan lima solat fardu yang telah ditunaikan dalam keadaan itu, maka ini membebankan.

Firman Allah: (maksudnya): “Allah mahu kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran,” (Surah al-Baqarah: 185).

Di samping itu, jika seseorang bertugas dalam pakaian PPE tersebut semasa waktu solat yang boleh dijamakkan iaitu zuhur dan asar atau maghrib dan isyak, maka petugas boleh menjamakkan solat sekiranya terdapat bebanan atau kekangan waktu untuk menunaikan solat.

Ini dilakukan tanpa qasar. Maksudnya, empat rakaat Zuhur dihimpunkan bersama empat rakaat ‘asar. Begitu juga tiga rakaat maghrib dihimpun bersama empat rakaat isyak.

Hujah yang digunakan dalam masalah ini ialah hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya:

“Rasulullah s.a.w bersolat zuhur dan ‘asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?” Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar tidak beban sesiapa kalangan umatnya.”

Kesimpulannya, para petugas yang memakai PPE yang tidak dapat untuk berwuduk dan bertayammum, mereka boleh solat tanpa wuduk dan tayammum.

Mereka tidak perlu menggantikan solat, ini menurut pendapat dianggap rajih. Mereka juga boleh menjamakkan solat, jika perlu melakukan hal itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN