PETALING JAYA – Pengguna digalakkan untuk mempelbagaikan penyimpanan wang sama ada menerusi kaedah simpanan emas, Lembaga Tabung Haji (TH) atau Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB).
Kaedah itu bagi memastikan pengguna tidak tertumpu kepada satu akaun bank sahaja.
Perunding kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir berkata, langkah itu bukan sahaja dapat menggandakan simpanan, bahkan mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kehilangan duit di bank.
Katanya, mereka yang memilih menyimpan di bank turut digalakkan untuk membuka akaun dari pelbagai institusi perbankan untuk membuat simpanan wang.
“Mengikut falsafah kewangan, jangan meletakkan pelaburan itu hanya pada satu tempat atau kelompok sama, tetapi lebih banyak tempat adalah lebih bagus.
“Selain itu, bagi mereka yang menyimpan di dalam bank, boleh buat penyimpanan menerusi akaun berbeza. Sebagai contoh, jika pengguna ada RM100,000, anda boleh bahagikan dengan menyimpan di lima akaun bank berbeza,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau berkata, dalam masa sama, pengguna juga perlu peka dan sentiasa memeriksa baki akaun dan transaksi bagi mengesan jika berlaku sebarang pemindahan wang bukan dilakukan pendeposit.
Ditanya perbezaan penyimpanan melalui emas, ASNB dan TH, Shamsuddin berkata, ia mempunyai kelebihan dan faedah tersendiri, malah ketiga-tiganya antara platform sesuai selain simpanan menerusi akaun bank.
“Ada perbezaan jika kita menyimpan melalui tiga cara ini, misalnya RM1.1 juta yang disimpan melalui kaedah emas, ASNB dan TH. Untuk tempoh tertentu (bertahun-tahun yang akan datang), jumlahnya akan berubah.
“Simpanan di ASNB boleh mencecah RM2 juta, manakala TH pula mungkin RM1.6 juta dan emas (jongkong) boleh mencecah RM5.3 juta,” katanya.














