fbpx

APMM Perak rampas 50 set bubu naga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Maritim Perak menemui 50 set bubu naga yang dipasang di perairan Tanjung Hantu, Segari kelmarin.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak merampas 50 set bubu naga di posisi lebih kurang 2.7 batu nautika barat Tanjung Hantu, Segari, dekat sini, tengah hari kelmarin.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, bot peronda APMM yang melakukan rondaan Ops Pintas dan Ops Sayong, mengesan kewujudan bubu naga di sekitar perairan Tanjung Hantu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

“Kesemua 50 set bubu naga yang dijumpai itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan pemasangan apa-apa belat ikan, peralatan perikanan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Jelasnya, berdasarkan rekod APMM Perak, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 680 set bubu naga dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM75,360 telah direkodkan menerusi pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan perairan Kuala Kurau, Pulau Talang dan Pantai Remis.

Beliau memaklumkan penggunaan bubu naga secara berleluasa oleh pihak tidak bertanggungjawab di perairan Perak boleh menganggu habitat marin untuk jangka masa panjang.

“Ini akan menyebabkan ekosistem marin terancam, terutamanya ikan-ikan kecil di pesisir pantai dan boleh mengakibatkan kepupusan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

“APMM Perak bimbang, sekiranya kegiatan penggunaan bubu naga ini masih diteruskan, populasi habitat marin di negeri ini bakal berkurang dan generasi akan datang bakal terkesan,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI