fbpx

Wanita Ukraine didakwa bunuh Darya Dugina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shaban-Vovk dikatakan telah merancang operasi itu selama beberapa minggu selepas tiba di Russia pada 23 Julai lalu. - East2west News

MOSCOW – Pihak berkuasa Russia kini memburu seorang wanita Ukraine selepas Moscow menuduhnya sebagai suspek  yang meletupkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan membunuh anak perempuan sekutu rapat Presiden Vladimir Putin, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Natalia Shaban-Vovk, 43, dinamakan sebagai suspek yang membunuh Darya Dugina, 29, iaitu anak perempuan artkitek  utama pencerobohan Russia ke atas Ukraine, Alexander Dugin.

Wanita dari Mariupol itu didakwa merupakan anggota  batalion Azov dalam tentera Ukraine dan menyasarkan Dugina, demikian menurut media tempatan.

Susulan perkembangan itu, ketua laman berita milik kerajaan, RT, Margarita Simonyan menggesa  ejen-ejen Russia  agar memburu suspek yang dikatakan berada di Estonia.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) mendakwa bahawa Shaban-Vovk menyewa sebuah apartmen di bangunan sama yang didiami oleh Dugina. 

Dia juga dikatakan merancang operasi itu selama beberapa minggu selepas tiba di Russia pada 23 Julai lalu.

Bagi memantau pergerakan Dugina, ibu kepada seorang anak berusia 12 tahun itu dikatakan menggunakan sebuah kereta Mini Cooper ketika memasuki Russia bersama anaknya.

Organisasi media Russia, NTV mendedahkan imej memaparkan kad pengenalan diri Shaban-Vovk yang menunjukkan dia merupakan anggota Pengawal Kebangsaan di Ukraine.

“Kami menetapkan bahawa jenayah ini dirancang dan dilakukan oleh perkhidmatan khas Ukraine,” kata FSB dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Dugin menerusi komen pertama  selepas kematian anaknya menuntut lebih daripada sekadar balas dendam atas kematian Dugina.

Beliau menggesa agar kemenangan menjadi milik Russia dalam perang dengan Ukraine.

“Disebabkan serangan pengganas yang dilakukan rejim Nazi Ukraine, pada 20 Ogos lalu selepas pulang dari sebuah festival di Moscow, anak saya, Darya Dugina dibunuh dengan kejam oleh letupan di hadapan mata saya sendiri.

“Dia merupakan seorang gadis Ortodoks  yang cantik, berjiwa patriotik, wartawan perang, pakar dan ahli falsafah serta tidak suka akan keganasan dan peperangan.

“Marilah kita jadikan kematiannya sebagai inspirasi kepada askar-askar Russia untuk memenangi peperangan ini. Pastikan kita menang,” katanya. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI