fbpx
Lima unit minyak masak yang dijual pada harga RM41.90 sebotol di sebuah kedai runcit di Ketereh, Kota Bharu disita dalam serbuan dijalankan KPDNHEP semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP KELANTAN

KPDNHEP serbu kedai runcit jual minyak masak botol lebih harga siling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Sebuah kedai runcit di Jalan Kuala Krai – Kadok dekat Ketereh di sini didapati menjual minyak masak botol lima kilogram pada harga RM41.90 yang melebihi harga siling ditetapkan kerajaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Aswadi Jaafar berkata, serbuan dijalankan di premis tersebut semalam selepas pihaknya menerima aduan apabila kedai runcit itu menjual barang kawalan melebihi harga siling.

Menurutnya, sebelum serbuan dilakukan, anggota KPDNHEP telah membuat risikan awal dan penyamaran uji beli sebelum mengesahkan minyak masak botol lima kilogram dijual pada harga RM41.90 di premis terbabit.

“Semasa serbuan dijalankan, kita telah menyita sebanyak lima unit minyak masak botol lima kilogram daripada seorang lelaki warganegara asing berusia dalam lingkungan 40-an yang disyaki pemilik bersama premis tersebut.

“Anggota penguat kuasa KPDNHEP telah menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan Dan Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang menuntut pemilik premis mengemukakan maklumbalas dalam masa yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aswadi, harga siling runcit minyak masak botol tidak bersubsidi satu kilogram sepatutnya dijual pada harga RM7.70, dua kilogram (RM14.70) dan tiga kilogram (RM 21.70) dan lima kilogram (RM 34.70) sebotol.

Katanya, bermula 8 Ogos hingga 9 September depan, harga siling runcit minyak masak tulen kemasan botol ditetapkan berdasarkan harga purata bulanan minyak sawit mentah yang ditentukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia setiap awal bulan.

Tambahnya, pemilik premis itu dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana menjual barangan harga terkawal melebihi harga siling runcit yang ditetapkan kerajaan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR