fbpx

Kerajaan negeri tidak benarkan golongan sejenis bertapak di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Fared beramah mesra dengan dua ahli panel, Mohd Faizal Ismail (kanan) dan Khairolizan Atan (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Noh Gadot (kiri) pada Majlis Penutup Simposium Keluarga Islam Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri tidak akan membenarkan golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) bertapak dan berakar di Johor sekali gus mengekang gejala tidak sihat itu.

Bagi menangani perkara itu, kerajaan Johor akan memperkenalkan dasar khas Wanita Johor bagi menangani isu sosial itu daripada terus menjadi barah dalam masyarakat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, dasar itu kini sedang dirangka bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut berperanan merangka modul itu bagi memastikan penglibatan kelompok itu dikenal pasti dan ditangani di peringkat awal sebelum merebak dalam masyarakat.

“Budaya LGBTQ ini menjadi kebimbangan kerajaan negeri kerana ia mudah menjadi ikutan golongan lebih muda atas pelbagai faktor termasuk pengaruh rakan sebaya.

“Justeru, Dasar khas Wanita Johor yang akan dilancarkan tidak lama lagi itu menjadi modul lengkap membabitkan pendidikan keluarga, undang-undang serta penguatkuasaan membabitkan wanita, keluarga dan masyarakat.

“Dasar itu juga akan merangkumi modul bagi menangani isu LGBTQ dari awal di peringkat keluarga supaya ia tidak berakar umbi dan menjadi barah dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Kaunseling Islam ‘Pelangi Islam’ di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Nooh Gadut dan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) negeri, Puan Seri Dr. Noor Azizah Abdul Latif.

Ditanya mengenai langkah Singapura yang akan memansuhkan jenayah seks antara lelaki sekali gus yang akan memberi kesan kepada negeri ini, Mohd. Fared berkata, setiap negara mempunyai pendekatan berbeza dalam menangani isu LGBTQ.

“Singapura mempunyai cara tersendiri dan Johor yang merupakan negeri Islam juga mempunyai kaedah tersendiri bagi menangani isu LGBTQ.

“Singapura mengamalkan hak asasi lebih luas berbanding kita namun kita mempunyai acuan sendiri dalam menjaga rakyat termasuk dari terpengaruh dari unsur LGBTQ,” katanya.

Ahad lalu, Republik itu akan memansuhkan jenayah seks antara lelaki, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong sambil menambah masyarakat di negara itu semakin menerima golongan gay.

Hsien Loong menambah, kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah takrifan undang-undang perkahwinan di negara terbabit iaitu antara lelaki dan wanita.

“Saya percaya ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan sesuatu yang kini diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura,” katanya ketika berucap pada himpunan tahunan sempena Hari Kebangsaan Singapura, Ahad lalu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI