fbpx

Pelajar UPSI bantu negara raih perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ALIEF NAJMI memasang impian untuk menjadi seorang pendidik.

MINAT pemuda berusia 23 tahun itu dalam dunia bola sepak bermula ketika zaman kanak-kanak hasil dorongan bapa saudaranya yang juga bekas pemain pasukan Kedah.

Bermula dari situ, Mohd. Alief Najmi Mohd. Radzi terus mengembangkan bakatnya sehingga terpilih mewakili pasukan sekolah rendah dan menengah ke Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM).

Pada usia 15 tahun, anak kelahiran Alor Setar itu mengalami dilema besar dalam hidupnya apabila hasratnya untuk menyertai pasukan Piala Presiden Kedah dihalang bapanya.

Sebagai seorang anak, Mohd. Alief Najmi mengikut sahaja kehendak bapanya yang mahukan dia menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

“Saya main bola sepak sejak usia enam tahun. Kemudian, saya mula mewakili sekolah sehingga MSSM. Saya juga salah seorang pemain dalam skuad yang pernah membawa Kedah memenangi Piala Belia.

“Pada usia 15 tahun, saya bersama pemain Johor Darul Ta’zim, Akhyar Rashid ditawarkan tempat dalam pasukan Presiden Kedah, namun saya menolak dan Akhyar menerimanya.

“Faktor utama saya menolak tawaran itu adalah atas kehendak bapa. Dia mahu saya tumpu kepada pelajaran, selain bimbang mengalami kecederaan serius,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Selepas tamat tingkatan lima, Mohd. Alief Najmi melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis dalam bidang Diploma Sains Sukan selama tiga tahun.

Sepanjang tempoh itu, minat anak ketiga daripada empat beradik itu dalam bola sepak tidak pernah terpadam, sebaliknya dia terus berkembang apabila diberi peluang mewakili UiTM.

PASUKAN negara yang disertai Mohd. Alief Najmi berjaya meraih pingat perak dalam acara bola sepak pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand baru-baru ini.

Malah, remaja yang bermain di posisi sayap menyerang itu ditawarkan tempat beraksi bersama pasukan Perlis ke kejohanan Piala Presiden serta Sukan Malaysia.

Kini, Mohd. Alief Najmi meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Sukan dan Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Pada tahun pertama pengajian, dia berjaya mewakili negara pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand baru-baru ini.

“Ini kali pertama saya berpeluang mewakili negara ke AUG. Pada temasya itu, saya berjaya membantu negara meraih pingat perak selepas tewas kepada Thailand di perlawanan akhir.

“Sudah pasti, saya ingin memperbaiki pencapaian pasukan pada AUG, seterusnya pada 2024 nanti dengan membawa pulang pingat emas,” jelas remaja tinggi lampai itu.

Kini, Mohd. Alief Najmi mewakili pasukan UPSI bersaing pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi berlangsung di kampus universiti berkenaan.

Walaupun sibuk dengan sesi latihan dan kejohanan bola sepak di dalam dan luar negara, namun Mohd. Alief Najmi sentiasa mengutamakan pelajaran dalam apa juga keadaaan.

“Saya ada jadual sendiri bagi memastikan pengajian tidak terjejas. Sebelah pagi saya ke kelas, petang baru berlatih bola. Kalau ada peperiksaan, saya diberi pelepasan oleh jurulatih,” katanya.

Mengulas mengenai cita-cita, Mohd. Alief Najmi berkata, dia memasang impian bekerja sebagai guru sukan bagi menurunkan segala pengalaman bermain bola kepada generasi muda.

Pada masa sama, dia tidak menolak kemungkinan untuk menjadi pemain bola sepak profesional sekiranya ada pasukan dalam Liga Malaysia ingin melamarnya.

“Sudah pasti, saya ingin menjadi guru bagi mendidik anak bangsa. Kalau ada rezeki saya ingin bermain bola sepak pada pentas tertinggi. Sebolehnya, saya ingin mewakili pasukan negeri kelahiran, Kedah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI