fbpx

‘Kumpulan 1958’ bakal ketuai protes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK awal musim panas lalu, Manchester United tidak pernah lekang daripada diselubungi pelbagai isu bermula kegagalan layak ke saingan Liga Juara-Juara, masa depan bintang sensasi Cristiano Ronaldo seterusnya desakan peminat untuk keluarga Glazer melepaskan pemilikan kelab.

Selepas kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak 2013, kali terakhir United menjulang trofi adalah pada 2017 ketika merangkul trofi Liga Europa sebelum mereka terus hanyut dan tenggelam, malah jauh ketinggalan berbanding pencabar utama, Manchester City dan Liverpool.

Situasi itu mencetuskan kemarahan para penyokong setia The Red Devils yang menganggap semua kegagalan itu adalah berpunca daripada kesilapan tadbir urus kelab oleh keluarga Glazer yang diwakili oleh pasangan adik-beradik Joel dan Avram.

Kemarahan tercetus ketika kedua-dua mereka dikatakan telah menyatakan persetujuan untuk membawa United menyertai saingan Liga Super Eropah sebelum ini yang dikatakan mampu memberikan keuntungan berlipat kali ganda menerusi penajaan dan hadiah kemenangan.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan tidak dipersetujui oleh sebahagian besar peminat yang menganggap keuntungan yang diperoleh bukanlah memberikan kebaikan kepada kelab itu sebaliknya ia akan dibolot oleh keluarga Glazer selain merosakkan tradisi bola sepak England terutama saingan EPL.

Bagaikan mencurah minyak pada api yang marak, pasangan adik-beradik Glazer sekali lagi melakukan keputusan ‘bodoh’ apabila menamakan mereka sebagai layak untuk mendapatkan dividen sebanyak £11 juta (RM58.71 juta) pada Jun lalu ketika kelab tersebut berdepan krisis prestasi yang meruncing.

Bayaran berkenaan dianggap tidak munasabah oleh para penyokong selain percaya wang berkenaan perlu diguna pakai untuk persediaan musim baharu.

Selepas pelantikan Erik Ten Hag sebagai pengurus baharu, United turut gagal melunaskan janji mereka untuk memberikan sokongan penuh bagi mendapatkan pemain-pemain yang diinginkan oleh bekas jurulatih

Ajax termasuk beberapa pemain yang diburu terlepas ke tangan pencabar utama mereka di EPL.

Tekanan yang diterima menyebabkan keluarga Glazer beberapa hari lalu memutuskan untuk menjual sebahagian kecil pegangan mereka, namun Joel dan Avram masih akan terus kekal sebagai pemegang saham majoriti.

Perkembangan itu tidak menjernihkan suasana apabila sebuah gerakan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Kumpulan 1958’ yang mengambil semangat tragedi kemalangan udara Munich merancang sesuatu yang lebih besar bagi mendesak keluarga Glazer.

‘Kumpulan 1958’ menganggap pemilik semasa United ketika ini secara sistematik sedang menjarah keuntungan kelab untuk kepentingan sendiri serta berniat untuk membunuh sebuah institusi bola sepak terbaik di dunia.

Mereka dilaporkan bakal mengetuai protes besar-besaran dengan mengadakan kempen untuk memboikot perlawanan United menentang Liverpool yang akan berlangsung di Old Trafford pada pukul 3 pagi esok.

Kumpulan tersebut sudah mengadakan kempen sejak beberapa minggu lalu, menyeru para peminat tegar United untuk menyertai sesi tunjuk perasaan anti Glazer berkenaan sebelum perlawanan tersebut bermula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI