fbpx

22 juta orang berdepan kebuluran di Tanduk Afrika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua wanita meminum air daripada tong di sebuah kem pelarian di Baidoa, Somalia, 13 Februari lalu. - AFP

NAIROBI, KENYA – Seramai 22 juta orang berdepan risiko kebuluran di wilayah Tanduk Afrika, kata Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut pertubuhan kebajikan tersebut, kekurangan taburan hujan selama bertahun-tahun di Kenya, Somalia dan Ethiopia telah menyebabkan kemarau terburuk dalam tempoh 40 tahun, sekali gus mengakibatkan keadaan seperti kebuluran di kawasan-kawasan paling teruk terjejas.

Empat musim hujan yang tidak berlaku telah membunuh berjuta-juta ternakan, memusnahkan hasil tanaman dan memaksa 1.1 juta penduduk meninggalkan rumah untuk mencari makanan dan air.

“Dunia perlu bertindak sekarang bagi melindungi komuniti paling terdedah daripada ancaman kebuluran di Tanduk Afrika.

“Krisis kemarau ini masih tiada penghujung, jadi, kita perlu mencari semua sumber yang ada bagi menyelamatkan nyawa dan menghentikan penduduk daripada terhumban ke malapetaka kelaparan serta kebuluran,” kata Pengarah Eksekutif WFP, David Beasley.

Pada permulaan tahun ini, WFP memberi amaran bahawa 13 juta penduduk di tiga negara itu berdepan dengan kebuluran selain merayu bantuan sumbangan masyarakat dunia bagi membantu komuniti tersebut.

Bagaimanapun, penerimaan dana sumbangan yang perlahan dan pencerobohan Russia ke atas Ukraine memburukkan lagi krisis di Tanduk Afrika.

Menjelang pertengahan tahun apabila musim hujan tidak berlaku di Kenya, Ethiopia dan Somalia, bilangan penduduk yang amat memerlukan bantuan meningkat kepada 20 juta.

WFP berkata, menjelang September depan, angka itu akan meningkat kepada sekurang-kurangnya 22 juta orang.

“Angka ini akan terus meningkat dan keterukan krisis kelaparan akan bertambah buruk sekiranya musim hujan selepas ini gagal terjadi lagi.

“Angka penduduk yang memerlukan bantuan diramal kekal tinggi pada 2023 dan masalah kebuluran kini merupakan risiko serius terutamanya di Somalia di mana separuh daripada populasinya berada dalam keadaan ‘amat lapar’,” kata Beasley. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI