fbpx
Penagih perlu dihantar ke pusat pemulihan untuk dirawat dan kembali normal. – Gambar hiasan

Ibu terkilan tak sempat lihat anak berubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang wanita terkilan apabila tidak sempat hendak melihat anaknya berubah dan bebas daripada ke­tagihan ketum apabila lelaki itu meninggal dunia disyaki dibelasah oleh kakitangan sebuah pusat pemulihan dadah di Padang Re­ngas, Taiping, Perak Rabu lalu.

Ibu berusia 45 tahun itu memberitahu, dia tidak menyangka hanya menerima jasad kaku anaknya sedangkan Allahyarham masih bernyawa dan sihat ketika dihantar ke situ pada 12 Ogos lalu.

Katanya, anak sulung daripada tujuh beradik itu pergi secara sukarela ke situ de­ngan tujuan hendak mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik dan bebas da­ripada ketagihan air ketum sejak tiga tahun lalu.

“Saya tidak memaksanya pergi sebaliknya arwah dengan rela hati mahu ke sana kerana dia juga mahu mendalami ilmu agama.

“Arwah tertarik dengan modul pembelajaran di pusat tersebut yang berbentuk keagamaan selain mereka mengajar cara bercucuk tanam dan kemahiran lain,” katanya ketika ditemui ­Kosmo! Ahad di perumahannya di Su­bang Bestari di sini, semalam.

Menurut wanita itu, arwah bercita-cita mahu pandai me­ngaji serta solat dan memaklumkan impiannya untuk menjadi imam di rumah apabila dia pulang dalam keadaan ‘bersih’ nanti.

Tambahnya, proses pemulihan anaknya dijangka mengambil masa selama dua bulan selain dijanjikan untuk dibantu mendapat pekerjaan.

“Arwah hanya bekerja sebagai pemungut besi buruk di sekitar Subang Bestari dan Paya Jaras di Sungai Buloh selain menjadi anggota Rela secara sambilan,” katanya.

Ujar wanita itu, anaknya tidak pernah mengganggu atau mengamuk di dalam rumah atau di kawasan sekitar kejiranan perumahannya.

“Dia amat menghormati kami dan menyayangi adik-beradik­nya. Semua manusia termasuk penagih dadah berhak untuk berubah dan mendapat peluang kedua,” katanya.

Mengulas lanjut, wanita tersebut berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa pusat pemulihan tersebut tidak berdaftar.

“Kali terakhir saya lihat arwah adalah pada 12 Ogos lalu ketika menghantarnya di terminal bas Hentian Duta, Kuala Lumpur. Saya harap peristiwa itu tidak terjadi kepada orang lain,” ujar­nya.

Dalam pada itu, wanita itu berkata, dia melihat badan arwah dipenuhi dengan kesan lebam hampir di seluruh badan ketika jenazahnya dimandikan.

“Saya harapkan keadilan. Saya sedih tetapi reda,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Plong kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN