fbpx

Terlepas konsert Billie Eilish satu hikmah – Nabil Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABIL sekeluarga berputih mata terlepas daripada menyaksikan konsert Billie Eilish gara-gara kekeliruan tarikh.

PETALING JAYA – Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad yang berputih mata terlepas daripada menyaksikan Konsert Billie Eilish Happier Than Ever World Tour 2022, Jumaat lalu sebagai satu hikmah yang harus disyukuri.

Menurut Nabil, kekeliruan berhubung tarikh konsert tersebut secara tidak langsung mengelakkan dia sekeluarga terjebak daripada terbabit dalam perkara yang melalaikan.

“Itulah ramai komen ‘lagha’ (melalaikan). Memang Allah nak mengelakkan saya sekeluarga dengan benda-benda macam itu.

“Sebenarnya saya beli tiket pun pada Rabu lalu. Rupa-rupanya itu bahagian tempat duduk yang orang cakap jauh daripada pentas.

“Kami tak pernah tengok konsert, selalu hanya ke pementasan Disneyland. Jadi apabila mereka dah besar, saya nak mereka merasa tonton konsert artis antarabangsa yang juga akan jadi pengalaman pertama kami sekeluarga.

“Pada masa sama, saya sendiri ingin melihat cara produksi antarabangsa bekerja terutama dalam merealisasikan dan mengendalikan konsert bertaraf mega.

“Cuma kebetulan saya memang tak perasan tarikh sebab tak berapa penting. Saya beli kelmarin (Rabu) pun kerana anak-anak mahu pergi,” katanya.

Menurut Nabil, dia menyangka konsert penyanyi yang pernah memenangi tujuh Anugerah Grammy itu berlangsung selama dua malam.

“Saya sebenarnya terkeliru antara malam Jumaat dengan hari Jumaat. Tapi tidak mengapalah, kita fikirkan perkara positif.

Pagi tadi tular dalam media sosial selebriti tersebut kelihatan terduduk menghubungi isterinya, Nazira Ayub memaklumkan mereka sudah terlepas konsert Eilish.

Difahamkan, Nabil membeli lima tiket berharga RM508 setiap satu untuk isteri dan tiga anak perempuannya.

Biarpun menanggung kerugian, pengacara MeleTOP itu bersyukur menerima petanda Allah yang mahu melindungi dirinya dan keluarga.

Jumaat lalu, konsert penyanyi popular Amerika Syarikat yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil menghimpunkan sekitar 25,000 penonton.

Begitupun, ramai meluahkan perasaan kesal selain menyifatkan mereka kena ‘scam’ kerana mendapat tempat duduk yang sangat jauh dengan pentas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI