fbpx

Siasat dakwaan polis minta suapan RM20,000 daripada pemandu e-hailing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang didakwa berkaitan penahanan itu.

KUALA LANGAT – Polis siasat berhubung dakwaan seorang pemandu e-hailing diminta membayar wang suapan RM20,000 selepas ditahan membawa penumpang pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Mei lalu.

Difahamkan, dakwaan itu berkaitan tangkapan dua lelaki tempatan dan 16 PATI warga Indonesia di sekitar kawasan Long Beach, Tanjung Sepat pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pemandu itu mendakwa wang suapan itu bagi mengelak tindakan mahkamah selain mempertikaikan alasan tangkapan dan reman untuk siasatan.

Katanya, pemandu itu turut mendakwa polis menyalahgunakan kenderaannya untuk menangkap PATI.

“Dua suspek telah direman mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari dan kemudian dibebas jamin pada 27 Mei lalu sementara menunggu siasatan selesai.

“Kesemua PATI pula direman 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen dan mereka sudah dituduh di Mahkamah Teluk Datuk, Banting pada 1 Jun lalu,” ujarnya.

Terdahulu, pihaknya menerima satu laporan pada 8 Ogos lalu daripada salah seorang tangkapan yang tidak berpuas hati dan mendakwa polis menyalahgunakan kenderaan yang dirampas untuk tujuan tidak diketahui.

“Selain itu, pengadu sama membuat aduan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengatakan pegawai penyiasat meminta suapan RM20,000 bagi mengelak dirinya dituduh di mahkamah,” katanya.

Tegas Ahmad Ridhwan, siasatan sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat atas laporan polis dan aduan salah laku tersebut.

“Siasatan dijalankan secara telus dan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat salahlaku di kalangan pegawai dan anggota terlibat,” katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan seorang pemandu e-hailing mendakwa direman 10 hari dan diminta membayar wang ‘kautim’ RM20,000 selepas ditahan polis kerana didakwa membawa dua penumpang PATI secara salah pada Mei lalu.

Lelaki itu mendakwa kenderaannya dan telefon bimbitnya turut disita polis selama 41 hari sehingga menyebabkannya hilang punca pendapatan sepanjang tempoh itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI