PETALING JAYA – Tindakan lebih 24,000 murid yang tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dikatakan menjadi antara punca jumlah kemasukan pelajar ke kolej swasta menurun.
Ahli Senat/Jawatan Kuasa Akademik Universiti Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dr. Abdul Rashid Jamian berkata, menjadi kebiasaan sekiranya calon SPM tidak dapat masuk ke institusi pengajian awam (IPTA) mereka akan memohon ke IPTS.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak berlaku ketika ini kerana ramai calon tidak menduduki SPM dan secara tidak langsung prospek pengambil pelajar masuk ke IPTS berkurangan.
“Ini pandangan peribadi saya untuk menggambarkan mengenai senario yang berlaku ketika ini. Tindakan calon tidak menduduki SPM 2021 dipercayai antara punca banyak IPTS kekurangan pelajar pada sesi 2022,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid memaklumkan terdapat 24,941 calon SPM 2021 tidak menduduki peperiksaan itu daripada 407,097 pelajar yang berdaftar.
Antara faktor yang mendorong seseorang pelajar tidak menduduki SPM kerana menghadapi masalah peribadi, masalah keluarga dan masalah kewangan.
Abdul Rashid dipetik sebagai berkata, keadaan itu sesuatu yang membimbangkan kerana golongan muda negara harus dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan.
Menurut beliau, generasi muda perlu difahamkan tentang kepentingan menimba ilmu berbanding mengutamakan wang yang kini boleh diperoleh dalam sektor ekonomi gig walaupun tanpa kelulusan.














