fbpx

Jadi bijak, Siti Nurhaliza nasihat jangan diperdaya ‘scammer’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nurhaliza mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penipuan yang menggunakan namanya dan juga suami.

PETALING JAYA – Penghibur tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menasihatkan pengguna media sosial supaya bertindak bijak dengan tidak mudah terpengaruh kepada cubaan pihak yang menyalahgunakan gambar dan videonya untuk tujuan penipuan.

Katanya, dia terpaksa selalu bersuara di laman sosial bagi memberi peringatan kepada orang ramai memandangkan isu sama terus berulang kali berlaku.

“Masih ada individu yang menggunakan wajah dan video saya yang diulang pakai untuk menipu orang ramai di laman Facebook.

“Ada dua produk yang dikesan menggunakan gambar saya bersama suami. Produk itu tentang rambut lebat dan sebagainya. Jangan percaya, itu semua penipuan.

“Saya dan suami tak pernah gunakan produk itu, tak pernah pun jadi duta mereka. Selain itu ada iklan syampu yang katanya digunakan suami saya. Sedangkan suami baharu balik Umrah dalam keadaan botak.

“Ada juga gambar saya dalam iklan pelaburan dan artikel tidak masuk akal. Apa yang berkaitan dengan produk disebutkan tidak benar malah tiada kaitan pun dengan saya atau suami,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Menerusi perkongsian sama, penyanyi berusia 43 tahun itu turut meluahkan kekesalan apabila pihak terbabit mengguna pakai videonya untuk aktiviti meneka nombor yang menjanjikan wang tunai.

“Itu pun bukan saya dan tiada kaitan dengan saya. Mereka gunakan video saya dalam ‘live’ sebelum ini, seingat saya sewaktu pandemik yang awal-awal dahulu sebab ketika itu saya banyak buat video.

“Mereka ambil balik video itu dan ulang-ulang untuk menipu semua orang di Facebook serta menjanjikan duit. Ini ‘scammer’, anda janganlah terpedaya.

“Saya faham, sesetengah orang mengharapkan duit yang ditawarkan itu untuk menampung keluarga dan sebagainya.

“Saya minta maaf sangat, tolong jadi bijak dan jangan mudah terpedaya. Itu bukan saya. Mereka gunakan gambar dan video saya untuk kelirukan dan menipu,” katanya.

Menerusi penjelasan tersebut, Siti berharap taktik pihak tidak bertanggungjawab itu dapat disedari serta disebarkan kepada lebih ramai pengguna supaya tidak mudah percaya.

“Tidak semudah itu mereka mahu memberikan wang tunai. Jika mereka jujur, mengapa menggunakan video saya? Bukankah dari sini kita sudah tahu muslihat mereka untuk memperdaya orang ramai,” katanya.

Sebelum ini, Siti juga pernah menegur peniaga dalam talian yang menggunakan gambar serta videonya tanpa kebenaran sebagai testimoni produk kesihatan atau makanan.

Malah ada individu yang lebih berani membuka akaun laman sosial palsu untuk menyamar sebagai penyanyi tersebut bagi memperdayakan orang ramai termasuk di Indonesia. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI