KUALA NERUS – Penerokaan rakus manusia untuk mengangkut tanah dan batu di Bukit Buchu, Batu Rakit di sini, bagi kerja-kerja pembinaan mengundang risiko apabila telah mengakibatkan sebahagian besar khazanah fosil hidupan marin kuno berusia 350 juta tahun musnah.
Bukit yang diwartakan sebagai tapak warisan geologi bernilai tinggi itu kini sedang mengalami kepupusan dan kemusnahan teruk ekoran tangan-tangan manusia yang sewenang-wenangnya mengambil tanah dan batuan di situ tanpa pengawasan daripada pihak berkuasa.

Pensyarah Geosains Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Muhd. Nur Ismail Abdul Rahman berkata, Bukit Buchu menyimpan fosil seperti brakiopoda, bryozoa, karang, trilobit dan krinoid.
Katanya, pengkaji geologi juga pernah menemui banyak fosil tumbuhan darat terawet terutamanya jenis pakis.

“Kebanyakan fosil-fosil itu ditemui pada lapisan batuan lumpur yang terdapat di dalam struktur Bukit Buchu. Kesemuanya mempunyai sifat struktur yang rapuh dan lemah.
“Kajian terhadap fosil berkenaan mampu mendedahkan berbagai aspek berhubung sekitaran lampau termasuklah perubahan iklim, aras air laut dan pengendapan lampau,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Muhd. Nur Ismail, dia terkilan apabila mendapati struktur batuan Bukit Buchu dan sekitarnya semakin terhakis sekali gus mengancam khazanah fosil bernilai tinggi di dalamnya ketika melakukan tinjauan di situ baru-baru ini.
Tambahnya, kemusnahan itu diburukkan lagi dengan fenomena semula jadi seperti luluhawa dan hakisan kerana tiada usaha bersepadu dilakukan untuk memuliharanya.
“Bukit itu diwartakan sebagai tapak warisan pada 19 Disember 2019, namun ia masih diganggu oleh aktiviti manusia di situ,” katanya.
Ujar Muhd. Nur Ismail, sebahagian daripada bukit itu dan kawasan sekitarnya telah diteroka sama ada bagi tujuan pembangunan atau mendapatkan sumber tanah dan batu.
“Oleh kerana ia rapuh dan lemah, sebarang gangguan sama ada aktiviti manusia dan semula jadi menerusi agen hakisan seperti air akan menyebabkannya cepat retak dan runtuh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan khazanah berharga di Bukit Buchu sebelum nasi menjadi bubur.
“Kemusnahan fosil berharga yang berada di depan mata terbabit merupakan kerugian besar kepada negara dan dikhuatiri boleh menggugat ekosistem setempat,” katanya.















