KUALA NERUS – Kerajaan disaran untuk segera mengarahkan pihak terlibat supaya menghentikan aktiviti menarah bukit bagi mengambil tanah dan batuan bagi memelihara khazanah fosil bernilai di Bukit Buchu, Batu Rakit di sini.
Pensyarah Geosains Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Muhd. Nur Ismail Abdul Rahman berkata, ia bertujuan bagi memastikan kelestarian khazanah fosil yang dianggarkan berusia 350 juta tahun itu.

Beliau berkata, selain itu, langkah mitigasi sesuai seperti kerja-kerja penstabilan cerun perlu dilakukan segera bagi mengelakkan bukit tersebut daripada terus runtuh.
“Saya juga mencadangkan agar kawasan bukit tersebut yang kaya dengan fosil dipagar bagi mengelakkan terus dicerobohi sesuai dengan kedudukannya sebagai tapak warisan geologi.
“Selain itu, struktur peneduh di singkapan batuan perlu dibina di kawasan yang kaya dengan fosil terbabit bagi mengelakkan hakisan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Muhd. Nur Ismail berkata, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan fosil, sebuah galeri dicadangkan dibina di kawasan Bukit Buchu tersebut.
Tambahnya, galeri tersebut membolehkan masyarakat terdidik dengan kepentingan fosil prasejarah dan geologi.
“Kerajaan negeri Terengganu dan masyarakat setempat bakal mendapat manfaat menerusi bayaran kemasukan ke galeri dan kegiatan ekonomi setempat,” katanya.















