fbpx

SPR daftar 40,989 pemilih baharu secara automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai 40,989 warganegara berumur 18 tahun ke atas telah didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh 1 hingga 31 Julai lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 13,481 orang pemilih berdaftar turut bertukar bahagian pilihan raya selain 4,116 pemilih bertukar status ataupun kategori pengundi.

“SPR ingin memaklumkan bahawa Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai Tahun 2022 (PT BLN7/2022) telah diperaku pada 15 Ogos 2022 dan diwartakan pada 16 Ogos 2022.

“Pemilih Tambahan itu mengandungi nama bagi 40,989 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih selain 13,481 bertukar bahagian dan 4,116 bertukar status serta kategori pengundi,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, DPT BLN7/2022 itu dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula 16 Ogos 2022
hingga 14 September 2022.

“SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi perkara tersebut iaitu melalui Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my.

“Pemilih juga boleh menyemaknya di portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri, aplikasi dalam talian, aplikasi mudah alih MySPR Semak serta hubungi Hotline SPR di talian 03- 8892 7018,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ikmalrudin turut meminta warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh itu serta pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam senarai tersebut.

“Sekiranya mendapati nama tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI