fbpx
Aplikasi yang digunakan sindiket bagi menipu mangsa dalam tawaran pekerjaan.

6 ahli sindiket penipuan tawaran kerja diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seramai enam individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan tawaran kerja dalam talian di sebuah unit kondominium sekitar Jalan Klang Lama semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua tangkapan terdiri daripada dua lelaki dan wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita Indonesia berusia 20 hingga 31 tahun.

“Polis telah menjalankan serbuan ke atas sindiket ini selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan tawaran kerja dalam talian aplikasi Shopee.

“Siasatan awal mendapati, kegiatan penipuan ini dipercayai menyasarkan mangsa dari Indonesia di mana kesemua suspek telah bekerja sejak empat bulan lalu dan menerima tawaran pekerjaan menerusi Facebook,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kesemua suspek menerima bayaran sebanyak RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dan akan menerima komisyen antara empat hingga lima peratus dari kutipan keseluruhan dalam tempoh sebulan.

“Kumpulan ini telah beroperasi sejak Julai lalu dan segala urusan pemberian gaji akan diuruskan oleh seorang lelaki tempatan.

“Polis turut merampas enam unit komputer riba, telefon bimbit (12 unit) dan sim kad(10 keping) yang digunakan dalam kegiatan penipuan tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan memberitahu mangsa akan bekerja sebagai ejen Shopee namun tidak menawarkan sebarang surat.

“Mangsa akan diarahkan untuk mengikuti tugasan yang diberikan seperti meminta mangsa ‘share’ dan ‘like page’ yang diminta.

“Sindiket ini juga menawarkan kerja dengan cara mangsa harus membeli barangan menerusi pautan yang diberikan.

“Mangsa juga harus membeli menerusi pautan tersebut sebanyak 10 kali sebelum menerima komisyen,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR