fbpx

Ribut Tropika Meari landa Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pejalan kaki melintasi jalan semasa hujan lebat di tengah-tengah Shizuoka, Jepun semalam. - AFP

TOKYO – Ribut Tropika Meari yang melanda Jepun mencetuskan fenomena hujan lebat di pulau Honshu ketika ia menuju ke utara ke arah Tokyo semalam, lapor akhbar Saudi Gazette.

Agensi Meteorologi Jepun berkata, ribut Meari melanda wilayah Shizuoka di barat daya Tokyo petang semalam. Ia membawa hujan lebat dan angin kencang ke kawasan luas sehingga mencetuskan amaran banjir dan banjir lumpur.

Lebih 72,000 penduduk di kawasan-kawasan utama bandar Shizuoka diarah untuk berpindah kerana kawasan itu berkemungkinan mengalami tanah runtuh.

Ribut Meari yang membawa angin berkelajuan sehingga 72 kilometer sejam (km/j) telah melepasi Shizuoka sebelum bergerak pada kelajuan kira-kira 20 km/j. 

Ia dijangka terus beredar ke arah utara sebelum ke timur dan melanda Lautan Pasifik.

Beberapa kawasan di Tokyo turut mengalami kejadian hujan lebat berkala bermula pagi semalam. Amaran mengenai ombak tinggi di kawasan pantai telah dikeluarkan untuk Tokyo, wilayah Kanagawa, barat daya Tokyo dan kawasan-kawasan lain yang berdekatan.

Pihak berkuasa turut memberi amaran agar orang ramai tidak mendekati sungai dan kawasan air lain kerana parasnya mungkin meningkat secara tiba-tiba.

Sementara itu, hujan dijangka bertambah buruk di Tokyo dan kawasan utara kota raya itu pada waktu petang, sekali gus menyebabkan amaran banjir, angin kencang dan hujan lebat dikeluarkan. 

Jepun ketika ini berada di tengah-tengah cuti musim panas perayaan Bon dengan kehadiran ramai pelancong, namun ada yang terpaksa membatalkan atau menukar rancangan mereka disebabkan cuaca buruk. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI