fbpx

OKT kes dadah mati semasa dirawat di klinik kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang buruh yang merupakan orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Bachok, Bachok dekat sini meninggal dunia semasa menerima rawatan di klinik kesihatan selepas dipercayai bergaduh dengan tahanan lain semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 32 tahun dan positif dadah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok kira-kira pukul 11 pagi.

Menurutnya, OKT dimasukkan ke lokap balai polis itu selepas ditahan atas tiga kes dadah pada 2 Ogos lalu dan sepatutnya dituduh di mahkamah hari ini atas kesalahan tersebut.

“Siasatan mendapati, mangsa dipercayai bergaduh dengan tahanan lain di dalam lokap sehingga dia mengalami sesak nafas sebelum diasingkan ke lokap lain.

“OKT juga dikatakan sering menimbulkan masalah kepada tahanan yang lain dengan membuang air kecil dan besar di dalam sel lokap.

“Mangsa meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bachok sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk di bedah siasat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, pemeriksaan turut mendapati, mangsa mempunyai tujuh rekod lampau berkait kes dadah.

Katanya, kes tersebut disiasat oleh Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Kita akan menunggu laporan post mortem mangsa hari ini. Berdasarkan laporan tersebut dan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) lokap, kita akan dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI