fbpx

Tragedi bot Banda, 17 hilang, 3 mayat ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai berkumpul di tebing sungai Yamuna selepas sebuah bot karam di kawasan Marka di daerah Banda pada Khamis lalu. - PTI

NEW DELHI – Seramai 17 orang masih hilang dan tiga mayat ditemui sehari selepas sebuah bot karam di Sungai Yamuna, negeri Uttar Pradesh, lapor laman berita Wion News semalam.

Polis mengesahkan bahawa 13 penumpang sempat berenang ke tempat selamat, manakala pasukan penyelamat terus mencari mangsa yang hilang.

Dua penumpang yang terselamat, Ramkaran dan Sunil berkata, mereka pergi ke rumah mentua bersama isteri masing-masing untuk meraikan upacara Hindu apabila bot itu terbalik di Sungai Yamuna, daerah Banda.

Tragedi berlaku ketika bot berkenaan dalam perjalanan dari Marka ke Jarauli Ghat di daerah Fatehpur.

“Apabila sampai di tebing, hanya ada sebuah bot. Waktu ketika itu sekitar pukul 3.10 petang (waktu tempatan) dan ramai orang ingin menyeberangi sungai itu.

“Kira-kira 50 orang menaiki bot itu yang turut membawa tiga motosikal dan enam basikal,” kata Ramkaran.

Superintendan Polis, Abhinandan memberitahu agensi berita PTI bahawa penyelam daripada Pasukan Tindak Balas Bencana Negara (NDRF) menemui tiga mayat tersebut 200 meter dari lokasi bot itu terbalik.

Pada Khamis lalu, polis berkata bahawa sekurang-kurangnya empat orang maut dalam kemalangan itu. Sumber dalaman pentadbiran daerah berkata, bot itu tidak berdaftar dengan pihak berkuasa.

Pengendali bot yang sempat berenang ke tempat selamat disoal siasat oleh polis mengenai kemalangan itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI