fbpx

11 terbunuh dalam insiden tembakan di Montenegro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS kecemasan berada berhampiran insiden lokasi tembakan di Cetinje, Montenegro kelmarin. - AFP

PODGORICA, Montenegro – Seorang penembak membunuh sekurang-kurangnya 11 orang termasuk dua kanak-kanak dalam insiden tembakan di bandar Cetinje, tengah Montenegro semalam, kata beberapa pegawai.

“Seramai 11 orang terbunuh di Cetinje hari ini (semalam). Dua daripada mangsa adalah kanak-kanak,” kata pendakwa raya, Andrijana Nastic kepada pemberita sambil menambah, penembak tersebut turut terbunuh.

Seorang pegawai polis yang enggan identitinya didedahkan turut mengesahkan angka itu kepada agensi berita AFP.

Tragedi itu berlaku di Cetinje, sekitar 36 kilometer ke barat ibu kota Montenegro, Podgorica selepas penembak itu terbabit dalam pertikaian sebuah keluarga, demikian menurut badan penyiaran awam, RTCG.

“Penembak dipercayai dibunuh oleh seorang penduduk tempatan,” kata Nastic, menyangkal laporan awal bahawa penyerang telah ditembak oleh polis.

Seramai enam orang turut cedera dalam serangan itu dengan tiga berada dalam keadaan kritikal, demikian menurut pengarah hospital di Podgorica, Ljiljana Radulovic.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Dritan Abazovic meminta negaranya menawarkan sokongan kepada waris mangsa dan berkata, tragedi itu sama sekali tidak dijangka dalam sejarah baharu Montenegro.

Montenegro popular kerana pantainya yang indah, manakala kawasan pergunungan negara itu sekian lama menjadi tarikan pelancong.

Cetinje merupakan bekas bandar diraja dan terletak di sebuah lembah yang tidak berkembang pesat sejak beberapa dekad lalu.

Dengan kadar pengangguran sekitar 18 peratus dan purata gaji bulanan kurang €520 (RM2,371), Montenegro bergantung kepada sektor pelancongan untuk meningkatkan hasil pendapatannya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI