fbpx
Keadaan kereta Proton Axia yang terlibat dalam kemalangan di KM 301.9, LPT2 berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal, Kemaman hari ini.

Mekanik maut, dua rakan cedera parah kemalangan di LPT2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN – Seorang mekanik maut manakala dua rakannya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 301.9 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.40 pagi itu, mangsa, Saharuzaman Abd. Wahab, 48, berasal dari Pasir Gudang, Johor meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Dua rakannya, Mohamad Afiq Mohd. Noor, 23, yang merupakan kelindan lori kritikal manakala Kamarulzaman Abu Bakar, 52, yang juga pemandu lori cedera di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kereta Perodua Axia dinaiki ketiga-tiga mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghalang jalan.

“Kereta itu berpusing sebelum melintang di laluan kiri lebuh raya.

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang jurukimpal bersama isteri dan anaknya dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar kenderaan mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, kenderaan Mitsubishi Triton itu terbalik namun tiga beranak tersebut terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Hanyan berkata, mayat Saharuzaman telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.

Tambah beliau, dua lagi mangsa iaitu Mohamad Afiq dan Kamarulzaman yang cedera pula dikejarkan di unit kecemasan hospital sama. – KOSMO! ONLINE

POPULAR