fbpx

Kerajaan tidak bercadang menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian (trade-off) yang besar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan, ini bermakna ia bukan satu dasar yang terbaik untuk ekonomi Malaysia.

“Seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.

“Contohnya, jika ringgit ditambat kepada dolar AS dan seandainya kadar faedah Rizab Persekutuan meningkat sebanyak 325 mata asas (atau 3.25 peratus) secara keseluruhan pada 2022, maka Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga perlu dinaikkan pada kadar yang sama.

“Meskipun Malaysia berada pada tahap pemulihan ekonomi dan tekanan inflasi yang berbeza daripada Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Md. Nasir Hashim pada Persidangan Dewan Negara di Parlimen, di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dalam hal ini, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat pula terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara tidak sama seperti di AS.

“Sekiranya langkah tambatan tersebut dilaksanakan, ia perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal. Namun begitu, tindakan ini akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

“Kadar pertukaran ringgit yang fleksibel pada masa ini merupakan satu dasar penting bagi mengimbangi keperluan untuk menyerap kejutan luaran dengan kepentingan bagi menyokong aktiviti ekonomi domestik, meskipun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global tidak menentu,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI