fbpx

Asal-usul kedatangan Predator ke Bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM bernuansakan sains fiksyen, seram dan aksi berjudl Prey ini layak mendapat pujian sebagai naskhah terbaik Predator yang pernah diterbitkan.

MALANGNYA bukan Gadis Jolobu dan semestinya bukan Jerangkung Dalam Almari, namun ketika ini terdapat sebuah filem bernuansakan sains fiksyen, seram dan aksi yang selayaknya menyita perhatian positif para penonton.

Naskhah yang dimaksudkan adalah prekuel kepada francais Predator berjudul Prey arahan sutradara, Dan Trachtenberg. Untuk filem berkenaan, penulis perlu mengakui, karya tersebut antara filem paling menderaskan adrenalin, membuatkan jantung berdegup laju dan hadir dengan kualiti sinematik yang wajar diraikan.

Berlatarkan tahun 1719 di Great Plains, Amerika Selatan, Prey mengisahkan kehebatan seorang wanita bernama Naru (Amber Midthunder) yang berasal daripada kaum atau etnik natif, Comanche.

Untuk lebih memahami garis masa karya kali ini, filem Prey ‘berlaku’ lama atau jauh sebelum kedatangan wira makhluk asing iaitu Predator ke Bumi.

Tanpa menonton empat filem terdahulu francais berkenaan pun sebenarnya, Prey boleh dihadam dan berdiri sendiri.

Fiksyen cemerlang, mantap

Sejujurnya, penulis mempunyai terlalu tebal rasa hormat terhadap penghasilan naskhah berkenaan. Babak aksi, terjemahan lakonan terutama teraju utama (Amber Midthunder sebagai Naru), kesan visual, pengarahan dan sinematografi, semuanya dijayakan dengan cukup sempurna dan layak diberi markah cemerlang.

Duduk tanpa sebarang jangkaan tinggi, sangkaan penulis bahawa Prey bakal jadi sebahagiaan filem sains fiksyen yang menjunam ternyata jauh meleset.

Dari awal filem bermula hingga detik akhir, boleh kata tiada langsung babak lompong membosankan.

Karakter Naru dijayakan begitu baik oleh Amber dan dia memang ada segala-galanya untuk ‘dinobatkan’ sebagai pendekar atau pejuang suku kaum Comanche.

Rupa paras eksotik, kebijaksanaan, kepahlawanan dan kecekalan hatinya benar-benar memberi harapan serta amaran kepada penduduk Bumi bahawa planet ini sebenarnya, sentiasa berdepan ancaman bahaya. Mungkin belum berlaku sekarang dan akan tiba waktunya.

Untuk Naru, dia mempunyai satu tanggungjawab iaitu melindungi puaknya daripada ancaman Predator yang pada waktu itu, baru sahaja bermula.

Sementara itu, komitmen lakonan pemain watak lain seperti Dakota Beavers sebagai Taabe iaitu abang kepada Naru juga layak dilambung pujian.

Terjemahan karakter haiwan iaitu anjing bernama Sarii juga sangat berkesan. Begitu juga komitmen pelakon lain terlibat.

PELAKON berwajah eksotik, Amber Midthunder menjayakan karakter utama dalam Prey bernama Naru dengan cukup cemerlang.

Representasi suku kaum

Selain apa yang disebut dalam perenggan terdahulu, satu perkara lain yang membuatkan penulis kagum adalah representasi suku kaum Comanche. Bagaimana mereka menjaga antara satu sama lain, alternatif menyembuhkan kecederaan dan penyakit mengggunakan bahan semula jadi serta semangat kepahlawanan mereka, sangat-sangat membekas.

Menonton Prey secara tidak langsung, memberi harapan kepada dunia yang penuh dengan kebobrokan disebabkan wabak penyakit, peperangan dan segala macam hal yang membingungkan sekarang bahawa apa yang kita perlukan hanyalah kebersatuan hati.

Seperti Naru yang kemampuannya sebagai pahlawan Comanche untuk memburu musuh dinafikan banyak pihak, akhirnya disangkal depan mata apabila berjaya membuktikan sesuatu dengan tindakan hebatnya.

Secara keseluruhan, Prey antara naskhah sci-fi terhebat tahun 2022.

Kini tersedia menerusi platform penstriman seperti Hulu (Amerika Syarikat) dan Disney+ (global), karya berkenaan semestinya menjadi wajib menjadi tontonan tak kiralah kalian pengikut francais filem Predator atau tidak.

Buat penulis secara peribadi, dari pelbagai sudut penting penghasilan sesebuah filem berbentuk sci-fi, Prey paling cemerlang berbanding daripada empat filem pernah dihasilkan sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI