fbpx
Hong Chiew diiringi anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Mahkamah: Pengamal perubatan wanita didakwa membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG – Seorang pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mendapatkan rawatan di rumahnya bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Che Hong Chiew, 51, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Hong Chiew didakwa telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas Lim Sin Lue, 41, di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Perdana 2/20, Pandan Perdana di sini antara pukul 4.45 petang hingga pukul 5 petang pada 27 Julai lalu. (2022).

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan: Penduduk tak tahu berjiran dengan bomoh

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendawa Raya Annur Athirah Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo Online 28 Julai lalu seorang wanita meninggal dunia di ruang tamu kediaman pengamal perubatan tradisional di Pandan Perdana dipercayai ketika mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira pukul 6.35 petang memaklumkan anaknya telah meninggal dunia.

Menurut polis mangsa yang merupakan wanita berusia 41 tahun itu telah pergi ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan sejak minggu lalu sebelum mangsa ditemui meninggal dunia.

“Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terbaring serta tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah terbabit sebelum disahkan mati di lokasi kejadian,” kata polis.

Menurut Farouk, susulan itu polis telah menahan seorang wanita berusia 51 tahun yang merupakan pengamal perubatan tradisional di tempat kejadian pada hari sama. – KOSMO! ONLINE

POPULAR