fbpx

Geng Mamat curi bahan binaan ECRL tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZAMRI menunjukkan barangan yang dirampas daripada Geng Mamat di IPD Maran di Maran hari ini

MARAN – Selepas lebih setahun melakukan aktiviti mencuri barangan binaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Geng Mamat akhirnya tumpas dalam serbuan yang dilakukan pihak polis di tiga lokasi berasingan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd.Rahman berkata, serbuan hasil maklumat awam itu berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai mencuri pelbagai peralatan binaan bernilai RM30,000 di tapak ECRL.

“Dalam serbuan pertama polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita berumur 21 dan 25 tahun di sebuah rumah di Kampung Sungai Ling manakala dalam serbuan kedua di Kampung Paya Pasir berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun.

“Serbuan ketiga kira-kira pukul 11.30 malam di sebuah rumah di Jalan Kampung Pertanian Pekan Tajau pada hari yang sama berjaya menahan lelaki berusia 19 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya dalam serbuan itu polis merampas sebuah kereta jenis Proton Iswara, selaras senapang angin dan sepasang gari disyaki digunakan suspek untuk penyamaran dan memeras ugut pekerja asing.

Tambahnya polis turut menemukan satu peket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.13 gram dipercayai bagi kegunaan suspek.

Dalam pada itu katanya, berdasarkan siasatan awal modus operandi kumpulan itu ialah mensasarkan mencuri peralatan di tapak binaan ECRL pada waktu malam sehingga melibatkan kerugian kira-kira RM30,000.

“Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan suspek pertama dan ketiga mempunyai rekod peyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A(1) Kanun keseksaan, Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI