fbpx
PAKAI topi beret untuk menutupi rambut yang tidak berdandan dan anda terus tampak mengagumkan.

Gaya topi beret beri semangat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh FAIZAL HAMID

TOPI beret adalah satu aksesori gaya yang memberi makna berbeza dan tersendiri mengikut pandangan individu.

Bagi peminat fesyen, ia mengembalikan semula imej-imej wanita ikonik dunia seperti Jacqueline Kennedy atau gaya naif eksperimentasi Puteri
Diana di era 1980-an.

Mungkin pada yang lain, topi beret adalah simbol pakaian seragam tentera, atau jika dipadankan dengan kemeja jalur melintang Breton, ia cukup melambangkan gaya klasik sinonim masyarakat Perancis.

Sejarah fesyen juga mengaitkan pemakaian topi beret dengan golongan kreatif dan hipster dunia (seperti generasi Beatnik), pelukis, pengarah dan penyair.

Para intelektual atau selebriti berpengaruh seperti Ernest Hemingway, Pablo Picasso, Edith Piaf, Marlene Dietrich, Twiggy dan John Lennon juga cukup sinonim dengan pemakaian beret sebagai antara gaya ekspresi diri mereka. Topi beret sememangnya dulu dan kini menjadi simbol berkait rapat dengan generasi penuh semangat serta inginkan arus perubahan diri.

Sememangnya sekian lama topi beret mempunyai pasaran tersendiri dalam industri fesyen, cuma kini ia menjadi semakin popular dalam kalangan pembeli seluruh dunia.

Majalah-majalah fesyen antarabangsa juga mengisytiharkan topi beret adalah aksesori yang perlu dimiliki musim ini. Ikon seperti Rihanna dan
Bella Hadid nampak cukup hebat serta anggun menggayakannya.

Kita juga dapat lihat di media sosial peminat-peminat fesyen memuat naik gambar atau video penggayaan topi beret mengikut gaya hidup mereka.
Semua ini pasti dapat memberikan anda idea bagaimana untuk menggayakannya mengikut cara anda pula.

1. Bergaya segera

Ia sememangnya cara mudah dan segera bagi menutupi rambut yang tidak didandan.

Jika anda tiada masa untuk mendandan rambut pada pagi hari sebelum ke pejabat, jalan penyelesaiannya mudah sahaja, pakai topi beret dan secara automatik anda kelihatan cukup bergaya dengan aksesori paling popular musim ini.

TOPI beret kini dianggap aksesori yang perlu dimiiiki musim ini.

2. Parisian chic

Mahukan gaya Parisian chic? Topi beret jawapan tepat untuk anda.

Padan dan gayakan topi beret dengan gaun wrap fabrik kapas, kaca mata hitam terkini, kasut espadrilles bertali dan gincu merah untuk gaya ceria terutamanya ketika cuaca panas.

3. Gaya idola K-pop

Gayakan kombinasi topi beret dan kemeja-T logo bersaiz besar, padankannya dengan seluar trek warna terang untuk gaya bersahaja inspirasi daripada bintang K-pop yang menjadi kegilaan.

4. Solusi serlah gaya

Topi beret berfungsi bagi menambah gaya sartorial atau anggun pada pakaian rekaan yang kelihatan biasa (seperti blaus, kemeja, skirt dan seluar).

Topi beret menyerlahkan aura keyakinan dan penampilan si pemakai. Ia gaya kontemporari, praktikal, mudah disuai padan serta menyuntik gaya segar pada pelbagai variasi pakaian.
——————————————————————————————————————————————————————————————————-
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN