fbpx

Beli minyak enjin, dapat air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penjawat awam terkejut dan merasakan tertipu selepas minyak enjin motosikal yang dibeli berisi air.

JOHOR BAHRU – Seorang penjawat awam merasakan bagai tertipu apabila sebotol minyak enjin yang dibeli di sebuah stesen minyak di Jalan Tebrau, di sini awal bulan lalu berisi air.

Mahadzir Ithnin, 43, berkata, dia hanya menyedari perkara itu apabila membuka botol minyak enjin satu liter berkenaan lalu dituang ke dalam tangki minyak yang semakin berkurangan.

Katanya, dia balik semula ke kedai tersebut untuk membuat aduan dengan mengemukakan semua bukti yang ada termasuk resit pembelian produk tersebut.

“Selepas menjelaskan perkara itu dan tunjuk semua bukti yang ada, pengurus itu menghubungi pemilik stesen minyak tersebut.

“Pemilik berkenaan menyuruh membuat laporan polis dalam masa sama enggan mengganti atau bayaran balik kecuaian yang dilakukan pihak mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mahadzir berkata, dia juga turut kecewa apabila pengurus premis memberitahu perkara itu bukanlah salah mereka kerana barangan tersebut datangnya daripada pembekal.

Jelasnya, itu adalah isu atau masalah antara mereka dengan pembekal, dia hanya datang untuk membeli minyak itu di kedai mereka.

“Selepas berunding dengan pengurus tersebut, mereka tetap berkeras untuk tidak membayar semula dan bertegas menyuruh saya membuat laporan polis,” katanya.

Susulan itu, Mahadzir tampil membuat laporan polis di Balai Polis Majidee, di sini pada pukul 11.40 pagi, 11 Julai lalu.

Katanya, dia juga telah membuat laporan ke pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secara dalam talian menerusi aplikasi EzAdu untuk tindakan pihak berwajib supaya tidak ada lagi pelanggan yang kena tipu dan dianiaya.

Tambahnya, dia turut meluahkan kekecewaan dengan membuat hantaran di media sosial miliknya mengenai pengalaman yang dilaluinya.

“Setakat ini, belum ada apa-apa perkembangan manakala pihak KPDNHEP menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat siasatan.

“Susulan itu, saya juga telah membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna di Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu dan mohon dibicarakan di Putrajaya.

“Saya berharap isu ini mendapat pengajaran buat semua pengguna untuk membeli produk seperti ini agar tidak tertipu. Dalam masa sama, kita nak pengusaha stesen lebih peka dengan produk yang dijual,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI