ROMPIN – Pantai Hiburan Rompin yang baru dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan termasuk pembinaan Taman Kenderaan Rekreasi pertama yang memenuhi piawaian antarabangsa kini berhadapan dengan masalah takungan air.
Difahamkan Pantai Hiburan yang dinaik taraf dengan perbelanjaan yang besar itu dibuka pertengahan tahun lalu, manakala Taman Kenderaan Rekreasi dirasmikan semalam.
Keadaan itu menyaksikan kawasan dataran pantai berkenaan yang ditar akan menjadi ‘kolam’ apabila hujan menyebabkan ketidakselesaan kepada pengunjung dan peniaga di kawasan itu.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati kawasan dataran yang menempatkan peniaga sempena Pesta Pantai dipenuhi air sehingga ada kedai yang tidak dapat beroperasi.
Malah laluan untuk pejalan kaki juga dilihat dipenuhi air yang menghalang orang ramai untuk mengunjungi gerai yang beroperasi di situ.
Seorang penduduk setempat, Hafiz Karim, 40, berkata, keadaan itu berlaku setiap kali hujan menyebabkan ketidakselesaan kepada pengunjung dan menjejaskan aktiviti yang dilakukan di kawasan dataran pantai itu.
“Ini bukan kali pertama kerana setiap kali hujan pantai hiburan akan ada ‘kolam’, ini menyebabkan peniaga rugi kerana orang ramai tidak dapat ke kawasan gerai.
“Saya hairan bagaimana pembangunan naik taraf pantai yang menelan belanja yang besar boleh menjadi begini dan ia tidak patut berlaku,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Ramli berkata, keadaan itu menyebabkan dia dan peniaga lain mengalami kerugian kerana pembeli tidak dapat datang ke gerai mereka.
Katanya, dia mengalami kerugian kerana banyak bahan makanan yang disediakan tidak dapat dijual kerana pelanggan tidak masuk ke gerai mereka.
“Sudahlah sewa agak tinggi iaitu RM2,500 sepanjang pesta pantai, pelanggan pula tidak dapat masuk menyebabkan kami mengalami kerugian,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, isu air bertakung itu telah dimaklumkan kepada pegawai daerah supaya diselesaikan dengan kadar segera.














