PETALING JAYA – “Bayangkan sesuatu berlaku pada kamu, seperti dimasukkan ke hospital, hilang upaya baik yang sementara atau kekal. Siapa nak jaga kamu? Siapa yang akan masak untuk kamu? Sudah tentu isteri kamu.
Demikian ungkapan yang diberikan pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah menuntut para suami berbuat baik kepada para isteri bagi mengekalkan hubungan bertahan lama.
“Jangan berkira dan jangan buat sambil lewa, meskipun kamu tengok dia boleh buat macam-macam.
“Yang penting adalah jangan biar dia buat seorang diri. Ambil tahu emosi dan perasaannya. Cuba kamu tanya pada diri sendiri, siapa akan jaga kamu kalau sakit,” ujarnya di laman Facebook.
Tambah Dr. Fadzilah, para suami dinasihatkan sentiasa bertanyakan khabar isteri mereka dan mempersoalkan adakah seorang suami itu menjaga isteri dalam bentuk emosi mahupun mentalnya.
“Sekarang, benda tu mungkin tak jadi lagi. Maka kamu rasa tak apalah. Kenapa nak fikir sekarang, Namun jika berlaku Nauzubillah.
“Masa itu, tiba-tiba isteri pergi tak mahu jaga kamu, bila ditanya, dia tidak mahu menjaga si suami kerana tidak menjaga dia sewaktu dahulu. Bayangkan apa kamu rasa bila dengar macam itu,” katanya.
Sehubungan dengan itu, pakar motivasi terkenal itu menyatakan bukan niatnya mahu menakutkan dan jauh sekali mendoakan.
“Tok abah cuma nak kita beringat dan berfikir betapa besar jasa dan pengorbanan isteri kita.
”Kena ambil berat dan selalu tanya keadaan mereka walau mereka ini hari-hari ada depan mata kita. Kerana, biasanya yang dizahirkan nampak okay, tetapi yang di dalamnya itu memendam keperitan yang tak selalu kita sedari,” katanya. -KOSMO! ONLINE.














