fbpx
TZE YONG (kanan) mengucapkan tahniah kepada pemain No.10 dunia dari India, Lakshya Sen selepas menang emas Sukan Komanwel di NEC sebentar tadi. - AFP

Ng Tze Yong banggakan negara, sumbang pingat perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Hasrat perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk merangkul pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 tidak terlaksana apabila akur dengan kekalahan kepada pemain No.10 dunia dari India, Lakshya Sen sebentar tadi.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di National Exhibition Centre (NEC) itu, Tze Yong terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas menerusi aksi tiga set 21-19, 9-21, 16-21 dalam tempoh lebih sejam.

Bagaimanapun, Tze Yong yang turun selaku pemain bukan pilihan menampilkan aksi lebih baik di set pertama apabila bermain lebih tenang meskipun diberi tentangan sengit oleh naib juara kejohanan Seluruh England (All England) itu sebelum menang 21-19.

Bersambung set kedua, pemain berusia 22 tahun itu bermula cukup yakin sehingga menyebabkan Sen sedikit kelam kabut, namun jaguh India itu kembali memperkemaskan permainan bagi memimpin perlawanan 11-9.

Kemudian, secara tiba-tiba Sen mula mendapat keyakinan selain mengeluarkan permainan sebenar bagi menjarakkan diri dengan Tze Yong sebelum memastikan kemenangan 21-9 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, Tze Yong memulakan aksi dengan positif, namun Sen yang dapat mengesan Tze Yong mula kepenatan mengambil kesempatan melakukan asakan sehingga berjaya menjarakkan diri 14-9.

Ketika perlawanan hampir ke penghujung, Tze Yong ada melakukan beberapa kesilapan mudah yang menyebabkan Sen mendapat lebih keyakinan sebelum memastikan pingat emas menjadi miliknya menerusi kemenangan 21-16.

Sebagai rekod, Malaysia merupakan juara bertahan dalam acara perseorangan lelaki menerusi legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei yang merangkul pingat emas pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung semalam, Tze Yong mengenepikan seorang lagi pemain India, K. Srikanth apabila dipaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan tiga set 13-21, 21-19, 21-10.- KOSMO! ONLINE

POPULAR