KUALA LUMPUR – Pelanggan setia perkhidmatan penghantaran makanan mengambil inisiatif untuk mengupah penghantar makanan persendirian bagi mengelakkan kelewatan menerima tempahan disebabkan isu mogok.
Menurut pelajar universiti awam, Natrah Aziz, 24, dia menggunakan alternatif lain iaitu dengan mengupah penghantar makanan sendiri tanpa menggunakan aplikasi kerana bimbang tiada rider di kawasan perumahannya.
“Di rumah hanya tinggal adik sahaja dan dia tidak tahu memasak, sudah menjadi kebiasaan untuk kami sekeluarga membuat tempahan makanan pada hari tertentu.
“Saya bersyukur kerana mempunyai kenalan yang membuat kerja-kerja begini. Di harap masalah ini dapat diselesaikan dengan lebih cepat begitu juga tindakan pantas daripada pihak majikan mereka,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, inisiatif sama turut diambil seorang kakitangan kerajaan, Batrisyia Hamid, 32, dalam menangani permasalahan kekurangan rider berkenaan akibat mogok.
Katanya, ketiadaan penghantar makanan menjadi sukar buat mereka yang berada di dalam situasi kuarantin dan sakit ketika ini.
“Suasana yang lengang ini agak merisaukan kerana sudah menjadi norma baharu untuk tempah makanan dan tiba-tiba hari ini dijangka akan lumpuh.
“Sangat merisaukan buat mereka yang sakit dan tidak mampu keluar rumah untuk beli makanan, sebagai pengguna diharapkan perkara ini tidak berlarutan dan dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.














