fbpx

Dicekup 9 jam selepas larikan wang, arak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLANG – Lima penyamun berjaya dicekup dalam tempoh sembilan jam selepas memecah masuk premis perniagaan sebelum melarikan wang tunai dan minuman keras dalam dua serbuan di sekitar daerah ini, semalam.

Suspek yang berusia 36 hingga 56 tahun itu diberkas di dua buah rumah di Bandar Bukit Tinggi dan Taman Saujana Jati di sini dalam operasi bermula pukul 8 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus wanita pada pukul 5.17 petang yang memaklumkan premisnya di Bandar Botanik dipecah masuk pada pukul 11 pagi sehingga menyebabkan kerugian RM2,400.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan terdapat pergerakan suspek-suspek tersebut di dalam premis berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis melakukan serbuan di dua buah rumah dan menahan lima lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya merampas minuman keras dan peralatan pecah rumah serta pakaian suspek yang dipakai sewaktu kejadian tersebut.

Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kes jenayah dan dadah.

“Polis telah mendapat perintah reman selama enam hari sehingga 10 Ogos ini terhadap kelima-lima suspek tersebut.

“Siasatan masih dijalankan mengenai penglibatan suspek dalam kes-kes lain. Kes disiasat mengikut 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya.

Beliau meminta para peniaga supaya memaklumkan dengan kadar segera sebarang kejadian tidak diingini supaya tindakan lebih agresif dapat dilakukan pihak polis.

“Selain itu, premis perniagaan juga disarankan meningkatkan kualiti CCTV yang dipasang agar imej yang lebih jelas boleh diperolehi dan membantu siasatan pihak polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI