fbpx
Sebanyak 32,190 kemalangan jalan raya dilaporkan di Thailand pada 2020 dan 2021 dengan kebanyakan insiden melibatkan trak pikap. - Thaiger

Thailand negara kedua paling bahaya untuk memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Satu kajian dijalankan sebuah platform pendidikan pemandu mendapati Thailand disenarai sebagai negara kedua di dunia yang paling berbahaya untuk memandu, lapor laman berita Thaiger kelmarin.

Kajian oleh firma bernama Zutobi itu menyenaraikan Afrika Selatan sebagai negara paling berbahaya untuk memandu di dunia, di hadapan Thailand dan Amerika Syarikat (AS) yang menduduki tempat ketiga.

Laman web Zutobi yang berpangkalan di AS mengukur kadar kemalangan jalan raya pada setiap tahun di seluruh dunia. Thailand didapati memperoleh skor teruk dalam lima kategori berbeza.

Kategori tersebut termasuk anggaran kadar kematian di jalan raya, had laju maksimum lebuh raya, kadar pemakaian tali pinggang keledar, kematian berkaitan alkohol dan had kepekatan alkohol dalam darah.

Ia mendapati negara Gajah Putih itu menduduki tempat kedua dengan 4.35 mata, di belakang Afrika Selatan dengan 3.41 mata, manakala AS di tempat ketiga dengan 5.03 mata.

Kementerian Pengangkutan Thailand melaporkan, sebanyak 32,190 kemalangan jalan raya dilaporkan pada 2020 dan 2021 dengan kebanyakan insiden melibatkan trak pikap, iaitu sebanyak 37 peratus.

Ia diikuti dengan kategori kenderaan persendirian dan awam sebanyak 27 peratus.

Dalam pada itu, berdasarkan kajian yang sama, Malaysia berada pada kedudukan kelapan bagi negara paling berbahaya untuk memandu.

Kajian yang menganalisis 52 buah negara itu memberikan skor keselamatan keseluruhan untuk Malaysia sebanyak 5.63. – Agensi 

POPULAR