fbpx

SPRM reman dua lagi suspek rasuah kuota pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah membenarkan reman selama tiga hari ke atas dua individu yang disyaki menerima dan memberi rasuah bagi mendapatkan kuota pekerja asing di negara ini.

PUTRAJAYA – Dua individu yang masing-masing merupakan ahli perniagaan dan pemilik syarikat agensi pekerjaan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah bagi mendapatkan kuota pekerja asing di negara ini.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, membenarkan kedua-dua suspek direman sehingga 7 Ogos ini selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 50-an itu masing-masing telah ditahan kira-kira pukul 10 dan 12 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.

“Ahli perniagaan tersebut disiasat berhubung penerimaan wang rasuah berjumlah lebih RM1 juta daripada ejen pekerjaan manakala seorang lagi suspek disyaki membayar rasuah kepada syarikat penyedia platform bagi permohonan pekerja asing.

“Penahanan kedua-dua suspek ini adalah susulan daripada penahanan lapan individu semalam bagi membantu siasatan kes rasuah bagi mendapatkan kuota pekerja asing di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, SPRM semalam telah menahan seramai lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM800 hingga RM1,500 sebagai balasan membantu majikan atau ejen dalam proses mendapatkan kuota pekerja asing.

Daripada jumlah itu, seramai enam suspek termasuk dua wanita telah ditahan reman selama tiga hari manakala dua lagi suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI