Oleh SAMIRA ABDUL RAZAK
Kira-kira dua minggu lalu, saya bersama lima rakan dari zaman belajar memutuskan untuk melawat seorang rakan kami yang baru melahirkan bayi sulungnya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.
Memandangkan itu merupakan kali pertama berkunjung ke Johor Bahru, kami mahu mengambil peluang itu untuk meneroka bandar raya tersebut bersama-sama.
Memandangkan tidak mahu memandu kereta ke sana, maka kami mengambil keputusan untuk menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Sebaik tiba di lapangan terbang, kami dijemput seorang rakan lain yang sudah pun berada di Johor Bahru untuk menuju ke hotel yang sudah ditempah.
Selepas melepaskan penat seketika, kami mengunjungi ke lokasi pertama iaitu sebuah restoran nasi ambang yang agak terkenal di bandara raya itu.
Biarpun tidak begitu menggemari hidangan berkenaan, namun saya bersetuju bahawa nasi ambang yang kami makan itu cukup enak.
Mungkin juga kerana terlalu lapar, hidangan itu jadi sedap.

SUASANA yang sempat dirakam di hadapan taman tema Legoland.
Selepas makan, kami berjalan-jalan ke Pasar Karat untuk ‘mencuci mata’, memandangkan tidak merancang untuk membeli apa-apa.
Keesokan harinya, pada sebelah pagi, kami melawat rumah rakan yang kini sudah bergelar ibu kepada seorang bayi perempuan yang comel.
Kami menghabiskan masa sehingga waktu tengah hari dengan berbual mengenai perkembangan hidup masing-masing selepas begitu lama tidak berjumpa disebabkan sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19.
Selepas menunaikan solat Zuhur, kami menjamu selera di sebuah kedai nasi campur berhampiran Legoland, memandangkan aktiviti seterusnya adalah berjalan-jalan di dalam taman tema berkenaan.
Di Legoland, kami menuju ke bahagian Sealife untuk melihat hidupan laut seperti obor-obor dan ikan pari.
Selepas itu, kami ke Puteri Harbour dan berjalan-jalan serta merakam gambar suasana di persekitaran kawasan tersebut.

PEMANDANGAN Puteri Harbour yang menjadi tempat kapal layar berlabuh.
Memandangkan perut sudah lapar, kami mengambil keputusan untuk makan malam di sebuah restoran masakan Melayu di Stulang.
Antara menu yang dipesan adalah udang masak Nestum, ikan pari asam pedas, sotong goreng tepung, ikan siakap tiga rasa dan telur dadar.
Selepas makan, kami kembali semula ke hotel untuk berehat.
Keesokan harinya, kami bersarapan di restoran Kacang Pool Haji di Larkin sebelum menuju ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur.















