fbpx

MAHA 2022: Bernas tawar hadiah bekalan beras selama setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bernas

PETALING JAYA – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) meneruskan tradisi menyertai pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro (MAHA) 2022 di ruang pameran Dewan A dan juga Laman Padi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menariknya tahun ini, Bernas akan menganjurkan beberapa aktiviti dan pertandingan berserta hadiah menarik untuk dibawa pulang oleh pengunjung ekspo pertanian terbesar negara ini.

Menurut Bernas, hadiah utama berupa bekalan beras selama setahun, tempat kedua akan memenangi bekalan beras untuk enam bulan dan tempat ketiga pula bakal memenangi bekalan beras selama tiga bulan.

“Bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan, Bernas akan mempamerkan pelbagai informasi menarik untuk pengunjung MAHA 2022 mengenai tugas serta tanggungjawabnya di dalam melestarikan industri padi dan negara.

“Antara pertandingan yang bakal dianjurkan oleh Bernas adalah Teka Berat Beras?, Chop ‘til you drop!, No Pain No Grain, Pertandingan Badang Bernas, Rice Click dan Sup-rice!,” kata Bernas dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, pertandingan Teka Berat Beras? adalah pertandingan meneka berat beras yang terdapat di dalam replika beras yang terletak di ruang pameran Bernas di Dewan A.

“Pengunjung perlu menjawab beberapa soalan mudah dan seterusnya meneka berat beras tersebut. Rice Click merupakan pertandingan gambar kreatif melalui platform media sosial yang bertemakan gambar berasaskan beras atau nasi.

“Pemenang akan membawa pulang RM1,000 bagi tempat pertama, RM750 tempat kedua, RM500 untuk pemenang tempat ketiga, manakala lima pemenang saguhati akan memenangi RM100 setiap seorang,” ujarnya.

Dalam pada itu, bertempat di Pentas Utama Dewan A, Bernas akan menganjurkan Pertandingan Badang Bernas pada 13 Ogos.

“Pertandingan yang akan bermula pukul 2 petang ini akan menguji kekuatan fizikal peserta untuk mengangkat kampit beras yang disediakan.

“Manakala di Laman Padi pula, pengunjung akan dijamu dengan Bubur Lambuk Istimewa Bernas, selain dapat melihat sendiri demonstrasi pemprosesan padi di Kilang Mini Padi Bernas.

“Bernas juga menawarkan peluang pekerjaan buat mereka yang sedang mencari pekerjaan. Orang ramai berpeluang untuk berbincang dan menyerahkan resume kepada wakil Bernas pada empat sehingga enam Ogos nanti,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut berhubung aktiviti anjuran Bernas sepanjang di MAHA 2022 boleh melayari platform media sosial Bernas di Facebook, Instagram dan juga Twitter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI