fbpx

Mahkamah: Sultanah Nur Zahirah tidak pernah masuk campur hal Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultanah Nur Zahirah

KUALA LUMPUR – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dilihat sebak ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes samannya terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Baginda dilihat beremosi ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Vishnu Kumar berhubung reputasinya yang terjejas selepas penjualan buku The Sarawak Report–The Inside Story of the 1MDB Expose yang antara lain mengaitkannya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Buku ini ditulis pada 2018 dan pada masa itu Jho Low dikategori sebagai seorang yang dikehendaki polis. Yang paling penting saya tidak pernah masuk campur hal ehwal pentadbiran negeri Terengganu, saya memang tidak campur.

“Tugas saya adalah sebagai isteri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu. Saya menjaga anakanda-anakanda dan itu (juga) salah satu tugas saya. Saya seorang suri rumah tangga selain tugas-tugas rasmi, saya tidak pernah mencampuri apa-apa (mengenai) hal ehwal negeri Terengganu.

“Tiba-tiba nama saya masuk ke dalam buku yang penuh kontroversi ini. Sesiapapun pada waktu itu tidak mahu dikaitkan dengan Jho Low memandangkan apa yang dia buat pada negara ini.

“Siapa sahaja dalam situasi saya akan berasa seperti apa yang saya rasa,” titah Sultanah Nur Zahirah ketika memberi keterangan secara dalam talian pada hari pertama perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Clare dan dua lagi yang lain.

Tambah Sultanah Nur Zahirah, pada ketika buku tersebut ditulis dan dijual pada 2018, suami baginda, Tuanku Mizan Zainal Abidin merupakan Yang Di-Pertuan Agong ke-13 dan baginda merupakan Permaisuri Agong ketika itu.

“Buku ini bukan cerita dongeng. Buku ini sepatutnya menulis perkara yang betul mengenai korupsi yang berlaku di Malaysia. Tetapi penulis buku ini, saya tidak tahu apa yang dia tulis, dia tidak mendapatkan fakta yang betul. Pada saya, itu fitnah,” titah Baginda lagi.

Selain itu, Sultanah Nur Zahirah mengatakan permohonan maaf yang dikemukakan oleh Clare selepas laporan polis mengenai buku tersebut dibuat merupakan satu tindakan yang tidak ikhlas.

“(Clare) tidak minta maaf secara ikhlas dan sepatutnya dibuat secara terbuka, dimasukkan dalam akhbar tetapi dia (Clare) terus buat edisi kedua, tukar `wife to Sultan’ kepada ‘sister to the Sultan’ dengan rasa tak bersalah.

“Ikut suka dia. Dia nak tulis wife, lepas dah sold out (habis terjual), sekarang dia tulis sister pula,” kata Sultanah Nur Zahirah.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Americk Singh Sidhu, Sultanah Nur Zahirah bertitah bahawa baginda tidak faham kerana namanya disebut oleh Clare dengan mengaitkannya bersama Jho Low.

“Saya tak pernah kenal dia (Clare), saya tidak pernah terlibat dengan politik, mungkin dia nak dapat keuntungan dengan memburukkan nama orang. Saya tidak mengenali dia pun,” titah Sultanah Nur Zahirah.

Sultanah Nur Zahirah juga ketika disoal balas menyatakan baginda tidak pernah masuk campur hal-hal berkaitan dengan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu atau (TIA).

Pada 25 September 2009, TIA telah ditukar kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Pusat.

Menurut Sultanah Nur Zahirah, buku tulisan Clare itu telah memfitnahnya apabila tulisan tersebut menunjukkan seolah-olah Sultanah Terengganu itu mempunyai kuasa dan pengaruh melebihi suaminya Tuanku Mizan.

“Berdasarkan buku yang ditulis ini, dia (Clare) menulis seolah-olah saya yang lebih berkuasa, mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kerajaan Negeri Terengganu.

“Dakwaan yang dibuat sekarang ini, yang menjadi punca utama yang disebutkan (dalam buku) ialah ‘the wife of the sultan’ iaitu saya dan saya tegaskan saya memang tidak tahu menahu mengenai TIA, 1MDB, mengenai penubuhannya dan segala-galanya. Itu yang saya katakan sebagai fitnah,” titah Sultanah Nur Zahirah.

Selain Clare, turut dinamakan sebagai defendan ialah penerbit Gerak Budaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak, Vinlin Press Sdn. Bhd.

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Clare membuat pernyataan yang memalukan terhadap baginda dalam buku The Sarawak Report–The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa, kenyataan itu memberi gambaran bahawa baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan TIA yang kemudian menjadi 1MDB.

Baginda mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda telah menolong Jho Low untuk menjadi penasihat TIA.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan itu memfitnah dan merosakkan reputasi baginda kerana baginda tidak pernah mencampuri pentadbiran negeri dan penubuhan TIA.

Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee bersambung pada 4 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI