fbpx

209 ‘mat gian’ ditahan dalam Ops Tapis Khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara individu yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

KUALA LUMPUR – Seramai 209 individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi Ops Tapis Khas yang dijalankan di sekitar ibu negara pada 27 hingga 29 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi terbabit telah dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN Bukit Aman.

“Operasi ini menyasarkan kawasan perumahan awam dan Projek Perumahan Rakyat di sekitar Kuala Lumpur termasuk menjalankan sekatan jalan raya bagi mengesan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Seramai 209 individu berusia 19 hingga 68 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan daripada jumlah tersebut, seramai 12 individu telah diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Sementara 24 individu ditahan di bawah kesalahan mengambil dadah berulang mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lapan individu ditahan kerana dikehendaki di bawah pelbagai kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azmi Abu Kassim memberitahu, lanjutan Ops Tapis Khas yang dijalankan, JSJN KL telah membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Mastiara, Jalan Ipoh yang dijadikan makmal haram memproses dadah jenis ketamin.

“Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai tukang memproses dadah telah ditahan dan beberapa peralatan termasuk bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah juga telah berjaya dirampas.

“Menerusi serbuan tersebut, polis menemui satu kilogram dadah jenis ketamin yang siap diproses dipercayai untuk dipasarkan di sekitar ibu negara,” jelasnya.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati, suspek merupakan seorang duda yang mempunyai seorang anak dan telah dibebaskan daripada penjara pada tahun 2019 atas kesalahan dadah.

“Suspek bekerja sebagai kontraktor elektrik dan telah menyewa rumah tersebut sejak dua bulan lalu bagi menjalankan kegiatan memproses dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 27 Julai lalu di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Katanya, keseluruhan rampasan bernilai RM374,829.40 terdiri daripada 15 liter cecair pelbagai jenis dadah, 1.6 kg pelbagai jenis dadah bernilai, wang tunai RM340 dan sebuah kereta jenis Honda Accord. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI