ALOR SETAR – Kalangan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko berhampiran Sungai Kupang di Baling akan dipindahkan ke kawasan lain bagi memastikan keselamatan mereka terjamin pada masa akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini Pegawai Daerah Baling, Mohd. Shahadan Abdullah sedang mengenal pasti beberapa lokasi untuk dijadikan tapak pemindahan keluarga terlibat.
“Mereka yang tinggal di kawasan berisiko akan dipindahkan. Jumlah mereka yang akan dipindahkan itu bagaimanapun belum dipastikan.
“Saya difahamkan ada rumah di kawasan berisiko itu tidak berpenghuni, manakala sebahagian yang lain, diduduki oleh penyewa. Disebabkan itu, kita belum dapat pastikan berapa ramai individu atau keluarga yang akan dipindahkan,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai kebimbangan penduduk di sepanjang Sungai Kupang dalam Mukim Kupang, dekat Baling berikutan kejadian kepala air yang berulang, berpunca dari Gunung Inas, lewat petang Khamis lalu.
Kebanyakan penduduk mengakui tidak senang duduk setiap kali hujan dengan rumah mereka turut dinaiki air banjir dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang tersebut.
Muhammad Sanusi menambah, proses pembinaan rumah perlu dilaksanakan di tapak yang akan ditetapkan nanti, sebelum penduduk terlibat dipindahkan ke lokasi selamat.
Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan membantu membina rumah tersebut, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, ketika ini sedang berlangsung bengkel antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bersama pakar-pakar dalam bidang tertentu, bagi mencapai kesepakatan mengenai punca tragedi yang berlaku di Gunung Inas dan meragut tiga nyawa pada 4 Julai lalu.
“Bengkel tersebut turut membincangkan mengenai langkah penyelesaian yang perlu diambil berikutan kejadian tersebut.
“Rabu ini, hasil dapatan bengkel tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco,” katanya. -KOSMO! ONLINE














