SUNGAI PETANI – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa negeri supaya menghentikan semua pelaksanaan pembangunan dalam kawasan hutan simpan bagi mengelak daripada ancaman bencana alam yang lebih teruk.
Gesaan ini dibuat susulan pendedahan mengenai aktiviti pembalakan dan ladang di kawasan Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda yang dikhuatiri akan menyebabkan kejadian kepala air dan banjir kilat di Sik berulang.
Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, secara prinsipnya SAM tidak bersetuju mengenai aktiviti pembangunan ladang hutan yang dilaksanakan dalam kawasan hutan simpan kekal.
Beliau berkata, prinsip itu bukan hanya membabitkan hutan Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda tetapi meliputi semua kawasan hutan simpan kekal di negara ini.
Katanya, pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam kawasan hutan simpan kekal telah memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pembalakan berskala besar secara tebang habis.
“Perkara ini menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas di samping merosakkan ekosistem semula jadi.
“Apabila kepelbagaian hayat hutan terjejas dan ekosistem semula jadi dimusnahkan ia akan memberi impak pula kepada sosioekonomi penduduk di kawasan persekitaran,” jelasnya ketika dihubungi.
Tambahnya, berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian lapangan SAM sebelum ini mendapati kebanyakan pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam kawasan hutan simpan kekal dilakukan tanpa kawalan dan tidak mematuhi syarat-syarat kelulusan yang ditetapkan.
“Sebagai contoh, penggerak projek atau kontraktor didapati menceroboh zon riparian atau rizab sungai yang boleh mencetuskan berlakunya proses hakisan tebing alur, sungai dan pemendapan sedimen di dasar sungai.
“Apabila berlaku proses hakisan tebing dan pemendapan sedimen maka akan menyebabkan kejadian banjir lumpur atau banjir puing,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














