fbpx

Ayu Puteh dedah ada penerbit sanggup pinjam Ah long siapkan drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Ada penerbit yang terpaksa meminjam daripada Ah long untuk siapkan drama mereka.”

Demikian antara pendedahan dikongsikan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Penerbit Filem Malaysia Malaysia Berhad (Kopelem), Datuk Ayu Puteh.

Kata Ayu atau nama sebenarnya, Normashayu Puteh, 44, tindakan tersebut berpunca daripada permasalahan serta syarat yang kurang bersesuaian yang dikenakan oleh pihak bank bagi golongan penerbit tempatan membuat pinjaman.

“Tidak dinafikan memang ada penerbit yang terpaksa pinjam daripada Ah long apabila mereka perlu menyiapkan drama mengikut surat tawaran (LO) yang diberikan stesen televisyen.

“Bila LO keluar, pihak penerbit perlu siapkan mengikut masa yang ditetapkan oleh pihak stesen,” katanya kepada media usai majlis perasmian Kopelem di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang.

Ayu yang juga merupakan seorang penerbit memberitahu, dilema tersebut bukan lagi masalah kepada penerbit apabila pihak kementerian kini telah meluluskan kemudahan pinjaman pembiayaan menerusi kewujudan koperasi berkenaan.

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar mengumumkan perkara tersebut ketika hadir merasmikan Kopelem.

Tambah Ayu, penerbit drama dan filem digalakkan menyertai Kopelem bagi mendapat manfaat termasuk pinjaman bagi menjayakan atau menyiapkan projek mereka.

“Sertai kami dan jangan pinjam Ah long. Kita di Kopelem mahu membantu ahli supaya mudah mendapatkan pinjaman tanpa syarat yang mengekang seperti pihak kewangan yang lain.

“Malah dengan koperasi ini juga ahli mendapat banyak peluang termasuk dana yang ditawarkan kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ayu mewakili semua jawatan kuasa Kopelem melahirkan rasa syukur apabila usaha selama lima tahun bagi menubuhkan Kopelem akhirnya terlaksana.

Katanya, pelbagai proses perlu dilakukan dalam usaha menjadikan Kopelem satu realiti dalam usaha mewujudkan rangkaian bagi memudahkan golongan penerbit di negara ini.

“Kami berharap mendapat sokongan semua pihak dan saya juga berbangga dengan kesemua jawatan kuasa yang dilantik kerana masing-masing mendukung tujuan membantu sesama ahli,” katanya.

Terdahulu, Noh Omar turut mengumumkan kementerian memberikan geran sebanyak RM20,000 bagi mengerakkan aktiviti awal koperasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI