fbpx

Penyebaran berita benar, sahih bukti cintakan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) melancarkan Konvoi Kembara Keluarga Malaysia 2022 (KKM) sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini FOTO- FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Amalan penyebaran berita benar dan sahih terutamanya menerusi platform media sosial disifatkan sebagai tindakan terbaik dalam membuktikan semangat patriotik Keluarga Malaysia terhadap tanah air tercinta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain mengibarkan Jalur Gemilang, amalan nilai-nilai murni dalam diri seperti bekerjasama dan mengamalkan toleransi, mendukung inisiatif kerajaan selain menyebarkan berita sahih merupakan cara menterjemahkan rasa cinta kepada negara.

“Gejala menyebarkan berita palsu atau berita tidak benar terutamanya menerusi media sosial harus dikawal dan dibendung sebelum ia menjadi satu amalan yang boleh memporak- porandakan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Gunakanlah sosial media secara berhemah untuk menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan dengan ucapan- ucapan murni kepada rakan taulan, majikan dan keluarga sendiri,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di sini tadi.

Ismail Sabri berkata, Sambutan Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang diadakan bagi memperingati dikecapi Keluarga Malaysia dalam mengurus pentadbiran negara sendiri setelah dijajah kuasa asing.

“Walaupun tidak lagi dibelenggu penjajah, namun Keluarga Malaysia sentiasa berdepan cabaran yang datang daripada luar hingga boleh menggugat keharmonian terjalin selama ini.

“Setelah kita berjuang memerangi Covid-19 sejak dua tahun lepas, negara kini dalam Fasa Peralihan Endemik dan Keluarga Malaysia mula menikmati kesejahteraan hidup kembali,” jelasnya.

Sempena Hari Kemerdekaan tahun ini, Ismail Sabri turut memohon kepada orang ramai agar menghiasi setiap premis dengan Jalur Gemilang bagi mencerminkan rasa cintakan tanah air.

Terdahulu, beliau bersama lebih 15,000 Keluarga Malaysia berjalan kaki sejauh 2.7 kilometer melalui program Berjalan Teguh Bersama sebagai simbolik menterjemahkan mesej kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan Konvoi Kembara Keluarga Malaysia 2022 (KKM) di mana ia akan menjelajah ke seluruh negara bermula dari Dataran Putra di sini seterusnya melalui perjalanan ke Semenanjung sebelum Sabah, Sarawak serta Labuan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI