fbpx

Banjir Baling: Penduduk takut, bimbang sampai bila perlu bertahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Nyawa kira-kira 1,000 penduduk yang mendiami perkampungan di sepanjang Sungai Kupang dalam mukim Kupang di sini, kini diibaratkan seperti telur dihujung tanduk susulan satu lagi kejadian kepala air yang berpunca dari Gunung Inas lewat petang kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu menyebabkan penduduk sekitar diselubungi ketakutan, sekali gus mengingatkan mereka kepada tragedi dahsyat yang berlaku pada 4 Julai lalu.

Dalam kejadian awal bulan ini, lima buah kampung yang terletak berhampiran Gunung Inas termasuk Kampung Iboi terjejas te­ruk sehingga meragut tiga nyawa.

Penduduk Kampung Padang Empang, Amat Hasan, 68, berkata, kejadian petang kelmarin sangat mengejutkan dan menyebabkan rumahnya dimasuki air sehingga paras betis.

“Penduduk sudah ketakutan ketika melihat arus deras yang turun dari kawasan Gunung Inas. Air sungai bergulung-gulung sambil menghempas jambatan.

“Lebih menakutkan apabila tebing sungai berhampiran jambatan sementara itu runtuh. Nasib baik tiada batang pokok yang hanyut. Jika tidak, jambatan ini akan runtuh,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang di sini semalam.

Pemandangan dari udara menunjukkan kesan kemusnahan akibat kejadian kepala air di Kampung Iboi, Baling semalam

Seramai 58 individu daripada 19 keluarga antaranya di kawasan Lata Celak, Kampung Iboi, Kampung Padang Empang dan Kampung Bendang Bechah ditempatkan di PPS tersebut.

Menurut Amat, dia dan isteri, Zaharah Ismail, 62, sememang­nya bimbang mengenai kejadian kepala air di kawasan berkenaan ekoran keadaan sungai yang cetek akibat mendapan pasir.

“Apa yang kami bimbangkan sudah berlaku semalam (kelmarin) dan nasib baik ia tidak seteruk kejadian kepala air tempoh hari selain tiada batang pokok yang hanyut.

“Sampai bila kami harus melalui situasi yang menakutkan ini. Kami rayu pihak berkaitan untuk melakukan sesuatu,” jelasnya.

Berita berkaitan: Banjir Baling: Penduduk dinasihat berpindah jika cuaca buruk

Jelas Amat, dia masih trauma dengan kejadian kepala air sebelum ini yang memaksa mereka memanjat bumbung rumah untuk menyelamatkan diri.

“Kami hampir mati, malah isteri saya nyaris lemas apabila terjatuh dari bumbung ke dalam rumah yang dipenuhi air sedalam kira-kira 1.8 meter,” ceritanya.

Berita berkaitan: Banjir Baling: Bencana boleh dijangka

Seorang lagi penduduk, Mohamad Dahari Abd. Lateef, 64, berkata, perasan takut sentiasa bermain di fikiran mereka terutama jika berlaku hujan lebat yang menyebabkan air sungai menjadi deras.

“Kami juga tidak senang duduk jika melihat kawasan hulu iaitu di sekitar Gunung Inas dalam keadaan gelap.

“Bila nampak keadaan arus deras sungai dan hujan lebat berpanjangan, kami akan segera memindahkan barang ke tempat lebih tinggi dan pergi ke rumah saudara atau ke PPS seperti di­arahkan pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, dia juga hampir maut dalam kejadian kepala air sebelum ini apabila terpaksa berpaut pada pokok pinang dari pukul 6 petang sehingga 8 malam.

“Walaupun bukan mudah memanjat dan berpaut pada pokok pinang yang licin, saya mampu bertahan kerana terlalu takut dan mahu selamat. Saya guna kain pelikat untuk ikat pada batang pokok bagi mengelakkan saya terlepas pautan,” jelasnya.

Ujarnya, semua penduduk terjejas terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit, malah ramai yang belum membaiki kereta yang rosak kerana kos mahal dan ketiadaan wang.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu dengan segera kerana ia melibatkan isu keselamatan penduduk di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN