fbpx

Rayuan akhir Najib kekal didengar 15 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

PUTRAJAYA – Rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd akan kekal didengar di Mahkamah Persekutuan mengikut tarikh yang sudah ditetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan kepada media oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul selepas pengurusan kes rayuan berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Kanan Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zahara Wan Yussof dan Timbalan Pendaftar Siti Hajar Mustaffa di sini hari ini.

“Mahkamah kemudian menetapkan 8 Ogos ini untuk pengurusan kes seterusnya,” kata Mohd. Ashrof.

Dalam prosiding hari ini Najib diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik yang merupakan peguam utama baharu Ahli Parlimen Pekan itu.

Isnin lalu, media melaporkan Najib memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Perkara itu dimaklumkan oleh firma guaman Tetuan Shafee & Co. melalui sepucuk surat Pemakluman Perberhentian Kaunsel dan Peguam Cara kepada pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan bertarikh hari ini.

Sejurus selepas itu media melaporkan peguam senior Hisyam dilantik sebagai peguam utama yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak bagi rayuan akhir kes dana SRC International Sdn. Bhd.

Menerusi surat yang dialamatkan kepada Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, barisan peguam lain yang akan turut mewakili bekas Perdana Menteri itu ialah Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam.

Firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) dalam surat itu turut memaklumkan bahawa, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak lagi mewakili Najib dalam kes rayuan akhir, yang akan didengar bulan depan.

Mengikut jadual, pendengaran rayuan akhir adalah pada 15 hingga 26 Ogos.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI