fbpx

Penerbit Cinderella, Mohd. Noor Kadir meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALLAHYARHAM MOHD. NOOR KADIR

PETALING JAYA – Penerbit dan pengarah, Mohd. Noor Kadir menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun akibat komplikasi jantung dan kanser prostat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 1.57 pagi tadi.

Berita pemergian Pengarah Urusan Kuasatek Pictures Sdn. Bhd itu disahkan teman sepejuangan merangkap rakan baiknya yang juga produser terkenal, Datuk Yusof Haslam.

Yusof berkata, anak Allahyarham menghubungi isterinya, Datin Patimah Ismail kira-kira pukul 2 pagi tadi bagi memaklumkan khabar menyedihkan itu.

“Sebenarnya arwah baharu menjalani pembedahan jantung, bulan lalu dan masih dalam proses pemulihan di rumahnya.

“Tetapi baru-baru ini dia dimasukkan semula ke hospital selepas selepas jantungnya bengkak, saya difahamkan paru-parunya juga bermasalsh.

“Sepatutnya hari ini saya dan isteri mahu melawatnya sekali lagi kerana minggu lalu iaitu Jumaat kami sudah datang tetapi cuma dapat berbual sekejap saja.

“Allahyarham agak kurang bermaya, namun tetap nampak bersemangat. Ketika itu barulah anaknya memaklumkan kepada saya bahawa doktor baru dapat kesan arwah ada kanser prostat tahap empat.

“Begitupun perkara itu dirahsiakan daripada pengetahuan Allahyarham kerana keluarga enggan berita tersebut mengganggu emosi dan kesihatannya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut penerbit yang sudah bersahabat baik dengan Allahyarham sejak era 1990-an. Kata Yusof lagi, Allahyarham adalah insan yang sangat prihatin, rakan terbaik selain selalu sedia membantu kawan lain tanpa berkira atau banyak soal.

“Persahabatan kami makin rapat ketika saya menghasilkan filem Sembilu. Selepas itu kami menerbitkan bersama Mr Cinderella dan Mr Cinderella 2.

“Kiranya keakraban saya dan arwah sama macam persahabatan dengan A Galak. Selalu keluar minum teh sambil berkongsi hal-hal produksi.

“Tahun lalu saya ada terbabit dengan produksi Kuasatek Pictures untuk filem siaran televisyen, Tarantula X. Nampak semangatnya terhadap dunia perfileman tetap membara,” katanya.

Jenazah yang sebelum ini dibawa ke rumah di 87, Jalan TC2B/1, Cemerlang Heights Kuala Lumpur kini sudah berada di Madrasah Iktisamiah Taman Melati untuk urusan mandi dan solat jenazah pada jam 8 pagi tadi.

Allahyarham akan dikebumikan di Raudhatul Sakinah KL-KARAK (Taman Selasih), Gombak sebelum solat Jumaat.

Terdahulu, Allahyarham Mohd. Noor pernah menerbitkan drama popular seperti Cinta Korporat, Marabbuka, Cinta Antara Benua, Cinderella, Romeo & Juliet, Salam Taj Mahal dan Kama Sutra sejak era 1990-an.

Kebanyakkan produk terbitan syarikat produksinya mengambil latar di luar negara termasuk di New Zealand bagi pembikinan
filem Mr Cinderella dan Mr Cinderella 2.

Difahamkan Allahyarham pernah meninggalkan dunia penerbitan seketika bagi memberi tumpuan kepada syarikat kejuruteraan, namun, kembali menerbitkan beberapa drama selepas lima tahun.

Tarantula X yang turut dibintangi Eman Manan, Adlin Aman Ramlie, Rashid Salleh, Namron dan Mona Allen disiarkan menerusi Astro First pada Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI