fbpx

Manusia biasa jadi luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Di dunia ini, memang kebanyakan insan adalah manusia biasa-biasa yang tidak berdarjat atau berpangkat, bukan juga aristokrat, ningrat mahupun teknokrat, bermagis kudrat atau makrifat, tetapi manusia biasa-biasa ini miliki satu kuasa untuk menjadi luar biasa menerusi satu jalan.

Apakah jalan itu? Jalan itu ialah melakukan kebaikan dengan sesungguh kasih dan setulus ikhlas.

Baru-baru ini, perbuatan seorang lelaki tua, Abdul Aziz Ya’acob, 60, yang berlari sehingga tercabut selipar lalu memeluk anak saudaranya agar tetap berdiri semasa satu perbarisan tular dan menyentuh sanubari jutaan manusia sehingga air mata Pak Menteri pun berderai.

Tahun lalu, kita juga terharu dengan kehadiran seorang pemuda, Azwan Omar, 29, yang pada mulanya ‘entah siapa’ datang dengan kereta kecil Viva yang terikat di atasnya sebuah bot dari Melaka ke Selangor untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Iltizamnya untuk membantu mendapat perhatian luar biasa seluruh Malaysia, maka popularlah dia dengan nama ‘Abang Viva’.

Kita turut berasa sebak dengan kemuliaan hati seorang anggota bomba di Sarawak yang tekad memberi bantuan pernafasan mulut kepada seekor kucing dalam satu kes kebakaran serta terpesona dengan kebaikan seorang anak lelaki yang begitu pandai melayani ibunya yang terlantar sakit di sebuah hospital di Terengganu.

Itu adalah antara contoh-contoh perbuatan manusia biasa-biasa yang menjadi tular kerana kebaikan setulus jiwa yang ditonjolkan.

Penulis percaya, semasa mereka melakukan kebaikan mereka tidak memikirkan perhatian atau sedar perbuatan dirakam orang sebaliknya sekadar menggalas tugas biasa membuat kebaikan sepenuh jiwa kepada sesama insan dan makhluk Tuhan.

Mereka juga sedikit sebanyak menyedarkan kita tentang hakikat bahawa satu hari nanti amalan-amalan kita yang tanpa sedar ‘dirakam’ akan dipapar dan alangkah bahagianya serta menggembirakan semua jika yang dipertontonkan adalah amalan kebaikan.

Maka, usahlah juga kita berasa aneh bila kini kian bertebarnya ungkapan kata kindness is contagious dan kindess is a new sexy kerana perilaku kebaikan memang mampu menular dan ada ‘seksinya’.

Nah, nampaknya melakukan perbuatan yang buruk dan baik itu semacam sama impak dan dampaknya, tetapi kebanyakan kita lebih cenderung memilih cara buruk untuk menjadi popular.

Ramai yang lebih rela beraksi bodoh dan lucu, melucut baju dan maruah, mempersenda agama, membuka pekung di dada dan menconteng arang di wajah sendiri demi meraih tumpuan walhal melakukan kebaikan setulusnya adalah semahal-mahal tular

Ada juga antara kita yang berhempas pulas untuk meraih pencapaian menakjubkan di pelbagai lapangan untuk dipandang orang. Kita melampas otak untuk tampil lain daripada yang lain agar menarik tumpuan.

Kalau Tuhan mengingatkan, dengan mencari akhirat itu akan membuatkan dunia mengejar kita, begitulah juga dengan konsep melakukan kebaikan. Dengan berbuat ihsan tanpa mengharap pandang manusia, percayalah ketika itulah akan banyak mata yang memandang.

Berbuat baiklah dan perhatian itu akan datang dengan sendirinya bagai batu datang bergolek, bagai pipih datang melayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI