fbpx

Mahkamah: Mawar Karim berjaya ketepi penghakiman ingkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mawar.

KAJANG – Usahawan Mawar Karim berjaya dalam permohonannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar kehadiran berhubung perjanjian pinjaman persahabatan (friendly loan agreement) berjumlah RM720,000 yang dikatakan telah dimeterai olehnya dengan seorang lelaki.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin yang mewakili Mawar selaku defendan ketika dihubungi selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Bandar Baru Bangi Effandi Nazila Abdullah.

“Lanjutan daripada keputusan tersebut, Mawar akan meneruskan tindakan dengan memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap pihak-pihak yang dinamakan dalam kes dalam tempoh 14 hari,” kata peguam itu.

Dalam prosiding hari ini, peguam Nik Zarith Nik Moustpha mewakili plaintif iaitu Nabil Mat Jahya manakala Mohd. Nor Tamrin mewakili Mawar.

Sebelum ini pada 21 April lalu, mahkamah memerintahkan bahawa pihak-pihak perlu memfailkan afidavit jawapan, afidavit balasan, hujahan bertulis dan hujahan balas masing-masing sebelum tarikh keputusan itu sepertimana yang telah diarahkan.

Terdahulu pada 11 Januari lalu, Nabil selaku plaintif diberi kebenaran oleh mahkamah untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Mawar, selepas usahawan itu gagal memasukkan kehadiran dalam saman yang difailkan plaintif.

Berdasarkan penghakiman ingkar itu, defendan (Mawar) perlu membayar balik pinjaman yang telah diberikan plaintif kepada defendan berjumlah RM720,000.

Mawar dalam afidavit sokongan untuk mengetepikan penghakiman ingkar kehadiran, berkata beliau tidak pernah sama sekali menerima salinan termeterai penghakiman ingkar itu daripada plaintif atau peguamnya, pada setiap masa yang material sehingga notis pelantikan peguam bertarikh 14 April lalu difailkan oleh peguamnya.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Nabil menuntut wang berjumlah RM720,000 yang telah diberikan kepada defendan, selaras dengan Perjanjian Pinjaman Persahabatan yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh mereka.

Kosmo! Online pada 19 April lalu, melaporkan peguam yang mewakili Mawar menerusi satu kenyataan mengesahkan Mawar itu tidak pernah muflis dan masih boleh menjalankan perniagaan seperti biasa.

Pada 13 April lalu, Mawar atau nama sebenarnya Mawar Abdul Karim, 33, tampil mempertahankan diri selepas didakwa menjadi mangsa fitnah seorang individu yang digelar ‘S’ berhubung isu kononnya telah diisytiharkan bankrap selepas melarikan diri daripada membayar hutang.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Mawar memberitahu telah beberapa kali menjadi mangsa fitnah kepada seorang individu yang digelar sebagai ‘S’ sejak tahun lalu lagi bermula dengan isu sekatan jalan raya, lari daripada hutang dan bankrap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI